9 Tahun Lagi Malaysia Bergelar 'Negara Tua'!

TERKINI
September 24, 2021 - 02:35 PM


9 tahun lagi menjelang tahun 2030 -- Malaysia dijangka mencapai status ‘NEGARA TUA’ apabila 15.3% daripada keseluruhan jumlah penduduk berusia 60 tahun dan ke atas.

Ia sekaligus menyaksikan populasi warga emas ketika itu menjangkau kira-kira 5.8 juta orang.

Untuk rekod -- ketika ini jumlah penduduk di Malaysia berjumlah 38.1 juta.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff -- jumlah itu berdasarkan unjuran daripada Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Oleh itu, adalah penting bagi warga emas untuk terus kekal aktif dan produktif seiring dengan peningkatan usia mereka,” katanya.

Kerajaan kini merencanakan hala tuju baharu yang lebih realistik bagi pemantapan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) untuk memberikan kesejahteraan kepada golongan itu.

Justeru, kata beliau kementeriannya mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak terutama ahli PAWE, ahli akademik, agensi kerajaan dan swasta serta Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Penubuhan PAWE ini merupakan tindakan proaktif kementerian dalam menyediakan platform untuk warga emas terlibat dan kekal produktif dalam komuniti setempat.

“Sehingga kini, terdapat 143 PAWE yang ditubuhkan dan beroperasi meliputi 131 kawasan Parlimen di seluruh negara, manakala 49,627 ahli berdaftar adalah warga emas pelbagai bangsa dan agama yang terlibat secara aktif di PAWE,” katanya.

Kata Siti Zailah, kerajaan menyasarkan menjelang 2030 akan mempunyai sekurang-kurangnya 222 PAWE di setiap Parlimen.

Menurut beliau, kerajaan benar-benar hendak memastikan agenda ke arah penuaan sihat, aktif dan produktif dapat terus dilaksanakan, selari dengan Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2011.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: