Waspada Pembelian Penutup Hidung Dan Mulut Secara Online

TERKINI
March 19, 2020 - 09:02 AM


Sehingga 5 petang semalam (18 Mac), terdapat 117 kes baru COVID-19 dilaporkan di Malaysia. Ini menjadikan secara kumulatif, jumlah kes menjadi 790 kes dan 60 pesakit telah pulih dan telah discaj.

Malam tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya tidak keluar dari rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang hari ini memasuki hari ke-2.

Selain orang awam diminta duduk di rumah, mereka yang keluar dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan dengan membasuh tangan dengan kerap menggunakan air dan sabun serta menggunakan hand sanitizer.

Umum ketahui bahawa hand sanitizer dan face mask atau penutup hidung dan mulut merupakan barangan yang sangat penting ketika ini. Boleh dikatakan banyak tempat telah mengalami keputusan bekalan.

Ini secara tidak langsung merisaukan dan tidak dapat dinafikan, sebenarnya hand sanitizer serta topeng penutup hidung dan mulut ini masih boleh didapatkan secara pembelian dalam talian (online).

PDRM Sedang menyiasat 3 kes penjualan topeng online di Kedah

Namun begitu, pihak Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terutamanya tidak membeli penutup hidung dan mulut melalui online atau laman sosial, sebaliknya membeli daripada pembekal sah bagi mengelakkan kes penipuan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, langkah ini bagi mengelakkan individu atau pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan daripada kekurangan bekalan topeng penutup mulut dan hidung ini berikutan penularan COVID-19.

Permintaan tinggi ketika ini menyebabkan orang ramai terpaksa mencari bekalan di media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya. Walaupun tiada kes dilaporkan setakat ini, orang ramai diminta berwaspada dan tidak tertipu dengan tawaran atau jualan berkaitan penutup hidung dan mulut itu kecuali sumber yang sah.

Nota Editor : Orang ramai dinasihatkan duduk dirumah selain tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya. Berita tepat dan lengkap boleh didapati di laman web atau laman sosial KKM.