Seronoknya, Rakyat Hungary Dah Ucap 'Selamat Tinggal' Kepada Pelitup Muka!

TERKINI
June 09, 2021 - 02:13 PM


Jika kita di Malaysia kini sedang membiasakan diri dengan pemakaian 2 pelitup muka atau 'double mask' disebabkan kes penularan pandemik Covid-19 yang semakin meruncing -- namun lain pula ceritanya dengan sebuah negara di Benua Eropah iaitu Hungary.

Sejak bulan Mei lepas, penduduk di Hungary telah bebas dari pemakaian pelitup muka selepas 5 juta penduduknya telah diberi suntikan vaksin Covid-19.

Secara simbolik kepada 'kebebasan' dari face mask itu -- Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban sendiri menyampaikan mesej kepada rakyatnya dengan ucapan "Dear Mask, Goodbye!" 

Di samping tidak lagi menjadi kewajipan memakai pelitup muka -- perintah berkurung pada waktu malam juga antara peraturan yang dibatalkan bagi mengurangkan sebahagian besar sekatan di negara itu.

Pada masa sama, aktiviti perhimpunan akan dibenarkan sehingga 500 orang di kawasan terbuka, sementara acara di kawasan tertutup dibenarkan hanya untuk individu yang mempunyai kad vaksinasi.

Orban berkata, negara itu telah berjaya menewaskan pandemik gelombang ketiga.

Hungary adalah satu-satunya negara Kesatuan Eropah (EU) yang telah meluluskan dan menggunakan vaksin Rusia serta China dalam jumlah yang banyak sebelum Agensi Ubat-ubatan Eropah (EMA) memeriksa atau meluluskannya.

Ini memungkinkan negara itu mencapai salah satu kadar inokulasi tertinggi di EU dengan 50 peratus daripada penduduknya yang seramai 10 juta orang telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

Manakala sebilangan besar aspek industri perkhidmatan Hungary sudah beroperasi termasuk hotel, restoran, spa, teater, pawagam, gimnasium dan tempat hiburan.

Sumber: The Star

Destination: