Wow, Malaysia Diiktiraf Destinasi Paling Mesra Muslimah Di Dunia 2019!

TERKINI
October 22, 2019 - 02:14 PM


Ini satu berita gembira dan membanggakan buat Malaysia apabila negara kita berjaya menduduki tangga teratas sebagai 'Destinasi Paling Mesra Muslimah' bagi tahun 2019!

Dalam laporan Muslim Women in Travel (MWIT) 2019 atau Muslimah dalam Pelancongan 2019 yang diterbitkan pada Khamis lepas (17 Okt) telah meninjau pendapat lebih 3,300 Muslimah dari pelbagai peringkat usia di serata dunia dan majoriti menamakan Malaysia untuk menduduki takhta kategori tersebut.

Menurut Indeks Pelancongan Muslim Global Mastercard-CrescentRating (GMTI) 2019, selepas Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) berada di kedudukan kedua diikuti Turki, Indonesia, Jepun dan negara jiran Singapura berada di tempat keenam.

Laporan itu merupakan terbitan bersama antara syarikat pembayaran global, Mastercard dan syarikat kajian pelancongan halal, Crescentrating.

Destinasi-destinasi tersebut dipilih berdasarkan pelbagai khidmat yang menepati pelancong Islam seperti makanan halal, tempat sembahyang dan ruang riadah yang menawarkan privasi.

Menurut laporan itu, 2 kriteria yang paling dititikberatkan seorang Muslimah apabila melancong adalah keselamatan diri dan keterbatasan dalam mengamalkan agama - termasuk kebebasan berpakaian Muslimah di tempat awam, tandas dengan kemudahan air untuk membersihkan diri dan ruang solat mesra wanita.

Berdasarkan laporan itu juga membuktikan bahawa pasaran pelancong wanita Islam semakin penting.

Ini kerana pada tahun 2018 sahaja, sekitar 63 juta Muslimah - atau hampir separuh jumlah keseluruhan pelancong Muslim membelanjakan lebih AS$80 bilion ketika mereka melancong.

Malah, dua pertiga daripada mereka berusia 40 tahun ke bawah dan kebanyakan pelancong wanita ini didapati mempunyai pengaruh besar dalam menentukan jadual lawatan apabila keluar berkumpulan.

Ia sekaligus memberi signal bahawa keutamaan, cita rasa dan tabiat pelancong Muslimah semakin perlu diambil kira oleh syarikat-syarikat dan pihak-pihak yang mahu memanfaatkan pasaran bernilai berbilion dolar ini. 

P/S: Tahniah Malaysia! Semoga dengan pengiktirafan dunia itu kita bakal mencapai sasaran untuk Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Sumber: MediaCorp.sg

 

 


 

Destination: