Barang Panas! Seiko Lancar Jam Edisi Terhad Naruto & Boruto. Hanya 6,500 Unit Di Seluruh Dunia!

PILIHAN EDITOR
December 22, 2020 - 04:50 PM


Adakah anda seorang peminat tegar siri animasi Jepun popular Naruto? Jika ya, ini ada satu berita gembira khas buat anda!

Seiko melancarkan jam tangan edisi terhad model Seiko 5 Sports Naruto & Boruto yang akan berada di pasaran seluruh dunia termasuk Malaysia pada bulan Disember ini.

Disebabkan jam tangan ini adalah 'Limited Edition' hanya 6,500 unit untuk setiap karakter sahaja dikeluarkan di seluruh dunia dan jika anda benar-benar peminat animasi Naruto & Boruto, sekarang peluang keemasan anda untuk mengumpul koleksi terhad ini.

Mungkin ramai antara anda yang membesar dengan pengembaraan Naruto sejak dari bangku sekolah untuk menjadi Hokage.

Bermula dari siri Naruto hingga tamat episod 500 dalam siri Naruto Shippuden, kemudian bersambung dengan siri generasi baru pewaris dunia ninja yang ditunjangi anak Naruto sendiri, iaitu Boruto: Naruto Next Generation.

Menariknya, 7 model jam tangan Seiko 5 Sports ini mengambil inspirasi daripada 7 watak dalam siri animasi tersebut yang mana 5 watak dari NARUTO iaitu Naruto, Sasuke, Shikamaru, Lee, Gaara manakala 2 lagi watak dari BORUTO iaitu Boruto dan Sarada, anak kepada Sasuke.

Jom kita tengok apa ciri-ciri eksklusif yang ada pada setiap jam tangan ini yang pasti membuatkan setiap pembelinya menjadi individu yang bertuah kerana memiliki barangan edisi terhad di dunia.

NARUTO UZUMAKI

Reka bentuk jam tangan yang bertemakan watak utama, Naruto Uzumaki ini terserlah menerusi rekaan yang dipadankan dengan baju ikonik berwarna oren milik Naruto sendiri.

Malah, corak putaran utamanya juga mengambil ilham daripada jutsu ikonik atau teknik Ninja "Rasengan" milik Naruto.

Selain itu, bagi paparan nombor ataupun indeks, anda pasti perasan indeks yang mewakili pukul 1 hingga indeks pukul 9 diwarnakan dengan warna oren, manakala selebihnya berwarna putih.

Kalau anda nak tahu, ia membawa maksud Bijuu Ekor 9 ataupun 'Kurama' yang mana Naruto adalah Jinchurikinya.

Satu lagi pada indeks pukul 12, bentuknya adalah sedikit besar dan rekaan ini diilhamkan daripada loket yang dihadiahkan oleh Lady Tsunade, Hokage Kelima kepada Naruto sebelum ini.

Manakala rekaan pada bahagian sisi bezel mengetengahkan semangat dan tekad Naruto yang sentiasa berusaha gigih dalam latihan untuk menjadi seorang Hokage.

Rekaan pada cincin bezel pula menerapkan elemen pelindung dahi dengan simbol Kampung Konoha (daun) ataupun Konohagakure yang menjadi idaman setiap ninja.

SASUKE UCHIHA

Rekaan jam seterusnya adalah bertemakan Sasuke Uchiha yang juga rakan dan saingan Naruto sendiri.

Bagi paparan utama jam ini menerapkan rekaan yang diilhamkan daripada elemen 'hand-sign' yang dilakukan oleh Sasuke sebelum menghasilkan Jutsu "Chidori" di mana ia dapat dilihat pada kedudukan jam satu tiga dan lapan.

Selain itu, pada bahagian atas bezel yang meletakkan simbol Kampung Konoha, terdapat satu garisan yang membawa maksud Rogue Ninja, iaitu watak yang dibawakan oleh Sasuke dalam sebahagian besar siri Naruto.

Manakala rekaan pada bahagian sisi bezel jam ini pula diukir dengan simbol Tomoe Sharingan yang menjadi identiti khusus puak Uchiha.

SHIKAMARU NARA

Tema ketiga jam edisi terhad Seiko pula mengetengahkan watak Shikamaru Nara iaitu salah seorang sahabat baik Naruto, merangkap orang kanan Naruto.

Jutsu utama milik Shikamaru iaitu ‘Shadow Possession Jutsu’ atau ‘Kagemane No Jutsu’ diterapkan pada jarum penunjuk jam dan minit.

Selain itu, pemilihan tema warna hitam dan hijau pula menggambarkan warna sut yang sering dipakainya.

Manakala rekaan indeks pula diilhamkan daripada permainan Shogi yang diminati oleh Shikamaru.

Rekaan pada bezel pula mirip jaring pada pakaian bahagian dalam yang sering dikenakan oleh Shikamaru selain simbol anting-anting pula ditempatkan pada bahagian atas bezel.

ROCK LEE

Edisi seterusnya pula bertemakan salah satu watak dan antara pengamal taijutsu terkuat dalam siri Naruto, iaitu Rock Lee.

Rekaan keseluruhan edisi ini diinspirasikan daripada Jumpsuit berwarna hijau dan oren yang sering dipakainya.

Pada bahagian bezel, terdapat dua corak yang mana menurut Seiko pada corak putih, ia membawa maksud kain balutan pada tangan Rock Lee manakala corak hijau pula bertemakan teknik yang dimiliki oleh Rock Lee iaitu ‘The Eight Inner Gate’, dimana dalam siri Naruto, Rock Lee berjaya membuka sehingga ‘Fifth Gate’ yang memberikannya kekuatan ‘Hidden Lotus’.

Di bahagian belakang pula, terdapat tulisan kanji yang bermaksud ‘Guts’ yang mana perkataan ini menjadi jalan ninja Rock Lee dalam perjalannya menjadi salah seorang shinobi terkuat.

GAARA

Edisi kelima bertemakan watak Gaara iaitu satu-satunya edisi yang wataknya bukan berasal dari Kampung Konoha. Gaara berasal dari Kampung Suna (pasir) ataupun Sunagakure.

Ciri-ciri yang ada pada Gaara termasuk dirinya yang merupakan Jinchuriki kepada Bijuu Ekor Satu yang dikenali sebagai Shukaku menjadi sandaran kepada rekaan jam ini.

Mengambil inspirasi daripada nama Kampung Suna, rekaan pada bahagian depan edisi ini menerapkan elemen-elemen pasir, seperti warna dan sebagainya.

Pada bahagian indeks pula, jika diperhatikan, anda akan mendapati satu perkataan kanji menggantikan posisi pukul 1 yang membawa maksud ‘Love’, sama seperti perkataan kanji yang ada pada bahagian tepi dahi Gaara.

Selain itu, rekaan pada bahagian belakang pula terdapat cetakan simbol yang ada pada Gourd, alat menyimpan pasir perisai yang selalu dibawa Gaara.

BORUTO UZUMAKI

Rekaan jam edisi Boruto Uzumaki mirip dengan rekaan edisi Naruto dan menurut Seiko, ia melambangkan hubungan di antara Boruto sebagai anak dan Naruto sebagai ayah.

Perbezaan yang nampak menyerlah adalah pemilihan warna terutamanya pada bahagian tali jam yang menerapkan elemen warna yang ada pada baju yang sering digayakan oleh Boruto.

Rekaan paparan depan jam turut menerapkan elemen Rasengan, jutsu yang turut dikuasai oleh Boruto selain penggunaan simbol bolt pada indeks pukul 12.

Nak tahu kenapa simbol bolt digunapakai? Kalau ada pengikut setia anime Boruto: Naruto Next Generation, anda mungkin perasaan huruf ‘O’ pertama dalam nama Boruto digantikan dengan simbol bolt.

Pada bahagian atas bezel pula, terukir simbol Kampung Konoha, sama seperti rekaan bezel pada edisi Naruto.

SARADA UCHIHA

Diinspirasikan daripada watak Uchiha Sarada, iaitu anak kepada Uchiha Sasuke, jam ini menampilkan elemen warna merah yang dikaitkan dengan semangat berkobar-kobar Sarada untuk menjadi seorang Holage.

Rekaan pada paparan depan juga menggunakan warna merah, menjadi lambang kepada Jutsu Bola Api milik Sarada yang diwarisi daripada Sasuke.

Selain itu, rekaan dwi-tona pada bahagian bezel membawa maksud dua identiti ninja yang diwarisi Sarada.

Warna merah pada bahagian atas adalah identiti ninja yang diwarisi daripada Sasuke manakala warna kelabu pada bahagian bawah adalah identiti ninja yang diwarisi daripada ibunya, Haruno Sakura.

Seterusnya, anda akan mendapati rekaan Tomoe yang menggantikan indeks pukul 4 di mana yang melambangkan perjalanan Sarada untuk menyempurnakan Sharingan yang menjadi kebanggaan puaknya.

SETIAP EDISI JAM DILENGKAPI NOMBOR SIRI TERSENDIRI

Bagi menjamin jam tangan yang dibeli adalah original dan edisi terhad, pada bahagian case belakang, terdapat nombor siri bermula dari 0001/6500 hingga 6500/6500 bagi setiap edisi.

Dengan nombor siri ini, setiap pembeli boleh mengetahui nombor bilangan unit yang ke berapa jam tangan edisi terhad yang dibeli mereka.

Paling menarik, setiap jam tangan edisi khas ini turut didatangkan dengan kotak simpanan yang diilhamkan daripada rekaan skroll ‘Earth and Heaven’ iaitu skroll ikonik yang ditampilkan semasa peperiksaan Chunin.

Peperiksaan Chunin sangat penting dalam siri Naruto dan siri Boruto dimana ia merupakan ujian skala besar untuk menguji kredibiliti seseorang ninja.

Jadi jika anda memang peminat setia animasi Naruto dan Boruto, jangan ketinggalan untuk mendapatkan koleksi peribadi jam tangan edisi terhad ini sebagai pelengkap gaya anda.

Mana tahu dengan menggayakan Seiko 5 Sports Naruto & Boruto ini, semangat dan jiwa ninja dalam diri anda bakal terserlah serta menyerikan kehidupan harian anda! Jom dapatkan segera!