Berjaya Atau Tidak Projek Pulau Langkawi Menjadi Debaran Sektor Pelancongan Negara

PILIHAN EDITOR
September 17, 2021 - 06:25 PM


Setelah sekian lama sektor pelancongan terjejas, kejayaan Langkawi menjadi debaran seluruh sektor pelancongan. 

Sektor pelancongan negara kini berdebar menantikan kejayaan Pulau Langkawi menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Negara pada Khamis.

Seramai 3,200 rakyat Malaysia mula melancong ke Langkawi sehingga sebanyak 18 penerbangan yang dijadualkan tiba dengan jumlah penumpang seramai 2,200 orang.

Dalam pada itu, trip perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi di Terminal Feri Kuala Perlis tergendala berikutan pelancong diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Ini selepas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan setiap pelancong yang akan bercuti di pulau legenda itu diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19, sebelum memulakan perjalanan mereka.

Sementara itu, lima individu dikesan positif Covid-19 melalui saringan ujian RTK-Ag terhadap 2,528 individu yang mahu ke Pulau Langkawi di empat pintu masuk lapangan terbang dan terminal feri di Kuala Perlis.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula berkata, pembukaan lebih banyak sektor pelancongan negara bergantung kepada kejayaan Gelembung Pelancongan Projek Rintis Pulau Langkawi.

Beliau menegaskan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu membuktikan projek rintis itu berjaya, bagi meyakinkan kerajaan untuk membenarkan pembukaan lebih banyak aktiviti pelancongan di seluruh negara.

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berharap inisiatif itu mampu memberi sinar buat penggiat industri pelancongan agar mereka kembali bernafas dan bangkit semula setelah sekian lama terjejas akibat pandemik Covid-19 selain meminta pelancong sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tambahnya, tempoh dua minggu pertama sangat penting dalam menentukan kejayaan projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi.

“Dalam tempoh dua minggu ini kita akan memantau jika berlaku peningkatan kes Covid-19 di Langkawi dan ia akan dijadikan tanda aras bagi menentukan sama ada destinasi pelancongan lain dapat dibuka.

“Kita harap tidak ada kes serius berlaku dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan sepanjang tempoh berkenaan bagi membolehkan ekonomi Langkawi kembali pulih,” katanya.

Sumber: Sinar Harian