Kanak-kanak Autisme Maut Terkurung Di Van Akibat Kecuaian Pemandu
TERKINIKanak-kanak mestilah diberi perhatian penuh kerana mereka masih kecil dan tidak mampu berfikir seperti orang dewasa, lebih-lebih lagi jika mereka adalah kanak-kanak istimewa. Berita tentang kematian dan penderaan kanak-kanak ini sering kita dengar sejak kebelakangan ini kerana sikap kejam dan kecuaian orang-orang yang tidak bertanggungjawab.
Kes terbaru kali ini melibatkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang mempunyai autisme meninggal dunia selepas ditinggalkan selama tiga jam di dalam kereta di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan, Seremban.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata pihak polis telah mendapat laporan mengenai insiden ini pada jam 7.46 malam, semalam.
Berdasarkan hasil siasatan, kanak-kanak tersebut sepatutnya dihantar ke pusat jagaan harian di taman Nusari Aman oleh pemandu van tersebut yang berusia 34 tahun. Namun, lelaki itu telah pulang ke rumah tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam van berkenaan.
Dikatakan lelaki tersebut tidak menyedari mangsa berada di dalam van dari pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang di hadapan rumah. kanak-kanak itu dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri. Susulan kejadian ini, pihak polis telah pun membuat tangkapan ke atas pemandu van berkenaan dan akan memohon tahanan reman ke atas suspek bagi mengenal pasti kejadian tesebut.
Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengesahkan punca sebenar kematian mangsa.