Kenapa Kita Sambut Hari Buruh Pada 1 Mei? Ini Sejarahnya

PILIHAN EDITOR
April 30, 2021 - 04:56 PM


Setiap tahun kita akan sambut Hari Buruh pada 1 Mei, tapi korang tahu tak sejarah disebalik mengapa kita kena sambut Hari Buruh ataupun Hari Pekerja pada 1 Mei, siap dapat cuti umum tau! Walaupun 1 Mei kita semua pun dapat cuti, tapi mengikut pada sejarahnya, 1 Mei bukanlah untuk merai pekerja yang duduk bawah penghawa dingin, tapi lebih kepada pekerja manual atau buruh.

Jom belajar sejarah! Sambutan 'May Day' ni sebenarnya bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1880-an di mana ketika itu mereka berada di zaman 'Gilded Age (1865-1900), satu zaman yang terkenal dengan amalan sistem ekonomi ‘laissez faire’ di mana kerajaan tidak bercampur tangan dalam ekonomi.

Ketika itu, kerajaan pusat mereka adalah lemah, membolehkan golongan kapitalis, ataupun pemilik kilang untuk menguasai ekonomi. Mereka yang tamak dan ingin memaksimakan untung pula mengambil kesempatan dan memaksa pekerja kilang untuk bekerja 12 hingga 14 jam, malah ada yang sampai 16 jam sehari, tanpa hari cuti. 

Demi mendapatkan keadilan untuk diri mereka, para pekerja kilang mula memperjuangkan idea bekerja 8 jam sehari dengan perjuangan "8 jam berkerja, 8 jam rekreasi, 8 jam berehat" (‘eight hours labor, 8 hours recreation, 8 hours rest’). Mereka mogok dan berarak di jalan, sehingga ramai yang dipukul dan ditembak oleh polis upahan kapitalis seperti ‘Pinkerton Guards’.

Yang menjadi kemuncak kepada perjuangan ini adalah Peristiwa Haymarket (Haymarket Affair) yang berlaku pada 3-4 Mei 1886. Semasa mereka berarak di Haymarket Square, Chicago, golongan ekstrimis anarkis yang ingin menggulingkan kerajaan meletupkan bom dan mengorbankan beberapa anggota polis dan orang awam. Susulan peristiwa tersebut, ramai pemimpin kesatuan pekerja telah ditangkap dan dihukum bunuh.

2 tahun selepas itu (1888), Persatuan Buruh Amerika (American Federation of Labor) menjadikan 1 Mei sebagai tarikh peringatan Peristiwa Haymarket. Pekerja kilang hanya akan bekerja 8 jam sahaja pada hari tersebut sebagai tanda protes, kemudian tahun seterusnya Second International (gabungan sosialis sedunia) mengangkat 1 Mei sebagai Hari Pekerja Antarabangsa.

Tapi masih tak membela nasib dorang kan? 1 hari je dapat kerja 8 jam. Namun, nasib mereka berubah lebih baik dengan munculnya presiden yang bernama Teddy Roosevelt (1901-1909) berwatak ‘strongman’ dengan beraninya menguatkuasakan waktu bekerja 8 jam sehari untuk buruh wanita, mengharamkan pekerja kanak-kanak, dan mengenakan kawalan undang-undang ke atas syarikat-syarikat besar (‘trust’).

Presiden Taft yang mewarisi Roosevelt telah memecahkan syarikat-syarikat gergasi seperti Standard Oil (milik John D. Rockefeller) dan U.S. Steel (milik J.P. Morgan) kepada syarikat-syarikat kecil demi membanteras monopoli kapitalis terhadap ekonomi. Roosevelt dipengaruhi oleh pemikiran progresif ‘New Liberalism’ yang melihat kerajaan berperanan untuk menegakkan keadilan di antara kapitalis dan pekerja.

Di Malaysia, sambutan Hari Pekerja juga ada kaitan dengan anjakan paradigma dalam pemikiran pemimpin. Hari Pekerja tidak diiktiraf sehingga 20 Mei 1972 apabila Tun Dr. Ismail mengumumkan 1 Mei sebagai Hari Pekerja dan cuti umum. Sebelum itu, idea sambutan Hari Pekerja ditentang kerana kerajaan mengamalkan ekonomi laissez faire dan dikhuatiri 1 Mei akan ‘ditunggang’ oleh golongan kiri (sosialis dan komunis).

Pengumuman Tun Dr. Ismail dibuat kerana pemikiran Tun Abdul Razak (Perdana Menteri 1970-1976) berbeza dengan elit lama di era Tunku Abdul Rahman. Semasa Tun Razak belajar di London, beliau menghadiri kuliah Harold Laski di London School of Economics dan menyertai Persatuan Fabian (Fabian Society) dan juga Parti Buruh (Labour Party).

Pengalaman Tun Razak mendedahkan beliau kepada idea-idea sosialisme. Walaupun Tun Razak bukan seorang sosialis, namun idea sosialisme mengenai keadilan sosial, kesamarataan dan hak buruh telah melekat pada Tun Razak dan mempengaruhi halatuju pemerintahan beliau.

Jadi korang yang dapat bercuti pada 1 Mei setiap tahun bukan kerana ihsan golongan kapitalis, tetapi adalah hasil perjuangan buruh terdahulu yang membela nasib diri. Kerana perjuangan merekalah kita yang berkerja hari ini mempunyai pelbagai hak, dan bukan setakat hamba kapitalis. 

Sumber: The Vocket