Rindukan Paris? Jom Tengok Karya Seni Muzium Louvre Secara Dalam Talian

PILIHAN EDITOR
April 08, 2021 - 05:32 PM


Bagi korang yang kaki jalan Paris, mesti dah selalu pergi, dan dah lama rindu nak melawat Muzium Louvre kan? Berita baik, sekarang korang boleh menghayati keindahan karya seni yang dipamerkan di muzium itu secara dalam talian, tak perlu nak tunggu pelancongan antarabangsa dibenarkan semula. 

Pihak pengurusan Louvre baru-baru ini mengumumkan, keseluruhan koleksi seni mereka kini boleh dinikmati dalam talian. Lebih 480,000 hasil karya seni kini boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja, bila-bila masa, secara percuma. 

Antara karya mereka yang terkenal seperti Winged Victory, Venus de Milo, dan tentu sekali Mona Lisa kini boleh diakses secara dalam talian, bersama-sama ribuan lagi bahan pameran seperti lukisan, arca, barang kemas, tekstil dan objek bersejarah.

Berbezanya pengalaman dalam talian ini, korang boleh melihat kesemua karya mereka, termasuk yang dipinjamkan, serta yang berada dalam simpanan. Pangkalan data itu mengandungi hasil karya dari Louvre dan Musée National Eugène-Delacroix serta arca dari taman-taman Tuileries dan Carrousel yang berdekatan.

Kalau korang tak tahu nak mula di mana, atau mahu merasai pengalaman olok-olok berkunjung ke muzium itu, korang boleh guna peta interaktif untuk meneroka muzium itu secara maya, seolah-olah sedang melangkah dari ruang ke ruang.

Pangkalan data itu akan terus dikemas kini mengikut hasil karya baharu atau kajian spesifik.

Terdahulu, Muzium Louvre ditutup kepada pengunjung ketika pandemik bermula, dan pernah dibuka sebentar pada musim panas dengan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19. Kemudian ditutup kebali ketika Paris menguatkuasakan perintah berkurung dan seterusnya menjalani fasa baik pulih bangunan.

Sumber: Astro Awani