Susah Solat? Cuba 10 Tips Mudah Solat Penuh 5 Waktu

RILEKLAH X
May 25, 2022 - 11:14 AM


Antara ibadah yang membezakan orang muslim dan bukan muslim adalah solat. Namun, mesti ramai antara kita yang struggle dalam menunaikan rukun Islam yang sememangnya wajib ini atas pelbagai faktor.

Perkongsian hari ini, dapat membantu korang untuk keluar dari gelembung malas untuk solat.Berikut tips mudah yang sedikit sebanyak membantu dalam mujahadah kalian. InshaAllah.

1. Kenapa kita diwajibkan solat 5 waktu?

Yang pertama adalah ketahuilah mengapa kita wajib melaksanakan solat 5 waktu. Ia adalah salah satu ibadat yang diperintahkan langsung daripada Allah kepada Rasulullah ketika peristiwa Isra’ Mikraj. Sesungguhnya amalan pertama yang akan dihisab kelak adalah amalan solat. Baik amalan solat, baiklah keseluruhan amalnya. 

2. Fahami manfaat solat. 

Dari segi psikologinya, dari sudut saintifik dan kesihatannya juga. Sebenarnya, orang yang rajin solat 5 waktu dengan khusyuk memiliki hati yang lebih tenteram dan mampu menghindarkan dia dari melakukan dosa. Wajahnya juga lebih bercahaya dan rasa lebih semangat. Dan terbukti juga bahawa segala gerak geri dalam solat memberi manfaat kepada kesihatan manusia. Sebaliknya, orang yang tidak solat hidupnya sering berasa tertekan, beremosi dan sejenisnya. Bukankah Allah pesan, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.

3. Ingat bahawa hidup di dunia sementara.

Terlampau fokus atau terbeban mengejar duniawi, mungkin antara sebab malas solat. Maklumlah, itu cara nak menampung hidup sehari-hari. Tapi, kita harus beringat, dunia yang dikejar ini hanya sementara. Kita perlu beriman akan adanya hari akhirat yang di sana kehidupan kita akan kekal selamanya. Dan bekal kita untuk hidup mewah di sana nanti adalah dari amalan-amalan soleh yang kita kumpul semasa hidup di dunia.

4. Lakukan secara bertahap agar menjadi kebiasaan.

Rajin tidaknya seseorang melakukan solat sebenarnya dipengaruhi oleh keimanan dan kebiasaan. Untuk merutinkan sesuatu yang tidak menjadi kebiasaan, kita perlukan lakukan sesuatu itu secara bertahap. Ikut kemampuan individu. Macam latih anak-anak berpuasa. Minggu pertama puasa separuh hari, minggu kedua 3/4 hari dan seterusnya sampai sempurna.Samalah juga dengan solat. Lakukan solat 5 waktu secara bertahap. Mula-mula 3 waktu solat, tambah lagi hari berikutnya sehingga kita mampu buat 5 waktu sepenuhnya. 

5. Buat jadual dan tick solat fardhu yang ditunaikan.

Untuk muhasabah selalu, boleh buat jadual solat di excel atau simple note yang mudah untuk kita tengok dan check selalu. Buat juga satu ruangan muhasabah untuk nyatakan sebab mengapa solat itu tak dapat dilaksanakan. Sebagai contoh;Picture1
Seterusnya, usahakan untuk tandakan semua ruang dengan ‘tick’. Lihat di ruang muhasabah dan ambil langkah memperbaiki penyebab itu.

6. Jangan melewat-lewatkan solat.

Usahakanlah untuk tidak melewat-lewatkan solat. Tiada jaminan yang kita masih hidup saat menunda-nunda solat tersebut. Saat mendengar azan, berhentilah melakukan sesuatu dan bersiaplah untuk laksanakan solat. Diriwayatkan dari Imam Muslim, dari Abu Bakr bin Abi Syaibah, dari ‘Ali bin Mus-hir dari asy-Syaibani, dari al-Walid bin al-‘Aizar, dari Sa’ad bin ‘Iyas Abu ‘Amr asy-Syaibani, dari Abdullah bin Mas’ud. Dia berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam: Amal manakah yang lebih utama?”. Baginda menjawab, “Solat pada waktunya.”
 

7. Berniat dengan tulus ikhlas.

Setiap amalan tergantung pada niatnya. Niatlah untuk melaksanakan solat demi memenuhi tuntutan perintah Allah swt. Dan niatkan tulus ikhlas kerana-Nya, bukan kerana redha manusia, untuk dapat pujian, ingin disayang, ingin dilihat sebagai orang bertakwa di mata manusia dan sebagainya. Kita kena yakin, apabila kita niat ingin berubah kerana Allah, maka Allah akan mudahkan hijrah kita.

8. Solat secara jemaah.

Tips lain untuk rajin solat 5 waktu adalah dengan solat berjemaah. Rasailah kelainan ketika bersolat berjemaah dari bersolat sendirian. Selain nikmat khusyuk, solat jemaah ganjaran pahalanya 27 kali ganda. Apapun, seorang wanita memang solatnya afdal di rumah. Jadi, untuk jemaah, boleh ajak anak-anak, kawan serumah. Jika di pejabat, boleh ajak rakan-rakan sepejabat jemaah sekali jika punya peluang.

9. Berkawan dengan mereka yang rajin solat.

Kalau pernah dengar lagu Ubat Hati – Opick, antaranya berkumpullah dengan orang-orang soleh. Sesungguhnya kawan memang memainkan peranan dalam kehidupan kita. Justeru itu, kita kena pandai memilih kawan. Berkawanlah dengan mereka yang rajin mendirikan solat. Dengan bersama kawan seperti itu, kita akan sentiasa diingatkan dan diajak untuk melaksanakan solat bila masuk waktunya. Tiada peluang lah kita nak ponteng solat walau saat sedang berhipster di luar.

10. Cari Ilmu tentang agama Islam.

Tips terakhir yang boleh diamalkan adalah menambahkan kefahaman kita tentang agama Islam yang suci ini dengan membaca buku-buku tentangnya. Apabila ada waktu terluang, ambillah peluang membaca buku tentang solat, tentang sirah Nabi, tentang hadis atau sebagainya. Sebagai contoh, kita boleh membaca saat hendak tidur malam. Hal ini lebih baik daripada kita asyik melihat status kawan di media sosial atau berangan. Selain itu, menambah kefahaman, dan matlamat kita tentang akhirat juga akan bertambah.

Kesimpulannya, solat 5 waktu memang tidak mudah untuk dikerjakan kerana syaitan dan kuncu-kuncunya akan sentiasa menyesatkan manusia. Namun, sebagai hamba yang inginkan redhaNya, kita kena rajin berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik lagi. InshaAllah, akan Allah mudahkan jalannya.
Selamat menunaikan solat!

Sumber dan Kredit: theyoungmuslimahwordpress.com