Top 5 'Hidden Gem' Yang Paling Hit Di Rileklah Sepanjang Tahun 2020!

PILIHAN EDITOR
January 07, 2021 - 10:36 PM


Tidak lama lagi, tahun 2020 bakal melabuhkan tirainya dan tidak dinafikan sepanjang tahun ini sektor pelancongan sama ada domestik mahupun antarabangsa seakan lumpuh akibat penularan pandemik COVID-19 yang tiada siapa pun dapat menduga kesannya kepada seluruh dunia.

Tahun ini juga, kebanyakkan pasport antarabangsa kita juga antara barangan paling lama terperap di dalam simpanan kerana penutupan pintu-pintu sempadan dunia yang merencatkan rancangan percutian ke luar negara seperti kebiasaannya.

Namun kata orang setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan siapa sangka dek kerana COVID-19 ramai antara kita yang jika selalunya gemar travel ke luar negara kini sudah mula 'membuka mata' serta kagum dengan produk pelancongan domestik yang dimiliki negara kita sendiri.

Ini dibuktikan menerusi penerbitan artikel oleh kami di Rileklah dan juga perkongsian posting di laman sosial Facebook mengenai destinasi atau tarikan pelancongan tempatan yang ternyata 'hit' di kalangan pembaca setia kami sehingga mencetuskan viral serta mendapat likes dan shares mencecah ribuan kali.

Berikut kami senaraikan "TOP 5 HIDDEN GEM" yang mendapat paling tinggi perkongsian di website dan Facebook Rileklah sebagai throwback sepanjang tahun 2020 :-

1) Sunflower Garden, Bagan Sungai Burung, Bagan Datoh, Perak.

(7.7K shares & 1.2K likes)

Siapa kata kat Malaysia kita tak ada ladang bunga matahari macam yang ada kat Amsterdam atau Lopburi, Thailand?

Dengan hanya memandu selama 3 jam dari Kuala Lumpur ke Bagan Datoh, Perak -- korang dah boleh  menikmati pemandangan indah lautan bunga matahari yang besar dan kuning keemasan macam kat luar negara.

Kalau korang tengok di mana-mana laman sosial, gambar-gambar pengunjung ber-OOTD cantik dengan berlatarbelakangkan bunga matahari dah menjadi semakin viral tau! 

Posting mengenai taman bunga matahari ini berada di tempat pertama sebagai 'Hidden Gem' yang paling meletop pada tahun 2020 apabila telah dikongsi sebanyak hampir 8 ribu kali dan mendapat lebih seribu likes daripada pengikut Rileklah!

2. Laman Tebu Aidil Orkid, Parit 3 Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor.

(6.4K shares & 1.3K likes)

Ini satu lagi 'permata tersembunyi' yang muncul gara-gara pandemik COVID-19 dan kali ini di Selangor.

Dengan idea kreatif untuk terus survive di kala pandemik, ladang tebu pun boleh dijadikan sebuah tempat untuk tarikan pelancong.

Lagi best, bila datang sini selain boleh bergambar cantik dengan deretan pokok tebu -- pengunjung juga boleh merasai kemanisan air tebu fresh terus dari ladang. Style kan!

Berada di kedudukan kedua, posting mengenai Laman Tebu Aidil Orkid ini telah berjaya mendapat 6,400 shares dan 1,300 likes sehingga ke hari ini.

3 - 12 Tempat Menarik Untuk Percutian Paling Happening Jika Ke Temerloh!

(1.4K shares & 122 likes)

Siapa sangka Temerloh yang sebelum ini hanya dikenali sebagai lubuk untuk makan hidangan ikan patin tempoyak paling sedap di Malaysia, rupa-rupanya turut mempunyai pelbagai tarikan pelancongan lain yang boleh dikunjungi.

Malah sejak Temerloh diiktiraf sebagai 'Titik Tengah Semenanjung' -- bandar ini semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia untuk dipilih sebagai destinasi percutian bagi membawa keluarga melancong terutama pada cuti umum seperti cuti perayaan dan musim cuti sekolah.

Perkongsian Rileklah mengenai artikel '12 Tempat Menarik Untuk Percutian Paling Happening Jika Ke Temerloh!' telah dikongsi sebanya 1,400 kali dan mendapat 122 likes sepanjang tahun ini.

4 - Pasar Terapung, Kolam JPS Perlis, Pengkalan Asam, Perlis. 

(759 shares & 369 likes)

Di kala semua negeri di Malaysia berada dalam zon merah atau kuning dan mempunyai kes positif COVID-19, Perlis sebagai negeri terkecil sebaliknya tergolong dalam 'Negeri Zon Hijau' tanpa merekodkan sebarang kes yang membimbangkan.

Apatah lagi kini Perlis mempunyai satu tarikan pelancongan yang boleh dikunjungi rakyat Malaysia jika mereka terlalu rindu untuk membeli-belah dan makan-makan di 'Floating Market' seperti yang popular di negara jiran Thailand, mereka boleh ke sini.

Perkongsian Rileklah mengenai tempat ini telah mendapat 759 shares & 369 likes.

5 - Candat Sotong Di Kuala Rompin-Tioman, Pahang!

(222 shares & 274 likes)

Ini satu lagi bandar kecil di Negeri Pahang yang jika sebelum ini kurang dikenali sebagai sebuah destinasi percutian, tetapi kini semakin mendapat tempat di hati para pengembara domestik terutama golongan yang gemarkan aktiviti memancing untuk memilih Rompin sebagai lokasi percutian mereka.

Malah, siapa sangka perairan sepanjang Kuala Rompin sehingga ke Pulau Tioman sebenarnya tidak kurang hebat jika nak dibandingkan dengan pulau-pulau di Terengganu yang sering menjadi destinasi pengunjung yang nak mencuba sendiri pengalaman mencandat sotong.

Dengan perkongsian artikel baharu oleh Rileklah mengenai istimewanya perairan Rompin ini yang kaya dengan hidupan laut gred A turut berjaya mendapat perhatian pembaca kami di mana ia telah dikongsikan sebanyak 222 kali dan mendapat likes sebanyak 274.

 

 

 

Destination: