5 Negeri Paling Ramai Terima Pelancong Sepanjang Tahun 2020

PILIHAN EDITOR
December 31, 2020 - 02:17 PM


Pernah muncul sebagai antara negeri zon hijau yang kekal tanpa sebarang kes jangkitan baharu COVID-19 selama hampir sebulan -- Pahang juga ternyata berjaya menduduki takhta sebagai 'Negeri Yang Paling Ramai Menerima Kunjungan Pelancong' untuk tahun 2020 ini. 

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh pihak Tourism Malaysia, berdasarkan tinjauan dalam talian dibuat mereka serta temu ramah secara bersemuka terhadap 12,281 responden mendapati -- 30.2% daripadanya telah bercuti ke Pahang sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dimansuhkan.

Keyakinan pelancong terhadap tahap 'zero' kes di Pahang itu mungkin menjadi faktor yang menyebabkan negeri tersebut sering menjadi pilihan mereka -- selain Pahang juga memiliki banyak destinasi pelancongan menarik dari pelbagai bentuk muka bumi dari percutian tanah tinggi seperti Genting dan Cameron Highlands hingga ke lautan seperti Pulau Tioman.

Malah sebagai bukti, posting mengenai penginapan unik berbentuk 'Dome' di Cameron Highlands iaitu A'moss Farmstay juga berjaya menjadi popular sehingga viral di Facebook Rileklah dengan rekod 38,000 shares, 25,000 komen dan 11,000 likes!

Sebagai sebuah Bandaraya Bersejarah, tidak hairanlah jika Melaka muncul sebagai negeri kedua yang mencatatkan jumlah kedatangan pelancong tempatan paling ramai iaitu sebanyak 26.6%.

Selain mempunyai lokasi yang dekat dengan ibu negara Kuala Lumpur, Melaka sering menjadi pilihan bagi warga kota yang ingin melakukan 'weekend-getaway' atau jalan-jalan cari makan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Malah, lambakan homestay dan penginapan yang unik serta menarik juga antara faktor ramai yang gemar memilih Melaka untuk dijadikan sebagai destinasi 'staycation', apatah lagi selepas mereka berkurung lama di rumah sepanjang tempoh PKPD.

Menduduki carta ketiga -- sebagai bandar metropolitan Kuala Lumpur juga menerima ramai kedatangan pelancong luar iaitu sebanyak 24.7%.

Sepanjang tahun 2020, banyak hotel dan tempat-tempat pelancongan yang terkenal di ibu negara mengadakan promosi istimewa serta pemotongan harga bilik atau tiket masuk bagi menarik perhatian pengunjung daripada serata negeri untuk membawa keluarga berjalan-jalan di ibu kota.

Dengan pemantauan ketat serta penetapan SOP yang teratur terutama di lokasi tarikan orang ramai, membuatkan pelancong domestik juga tidak terlalu bimbang dan mengambil kesempatan tersebut untuk melakukan perjalanan santai ke Kuala Lumpur serta melawat bangunan-bangunan ikonik di ibu negara.

Berada di tempat keempat, Selangor yang paling hampir dengan Kuala Lumpur juga menerima tempias kedatangan pelancong teramai iaitu 23.7%.

Memiliki aset alam semulajadi yang cantk serta mendamaikan, tidak hairanlah jika Selangor mampu menawarkan banyak percutian berupa penginapan berkonsepkan 'back to nature'.

Malah, Selangor juga mempunyai banyak tempat makan menarik yang menjadi tarikan pengunjung luar untuk menikmatinya bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sementara itu, Negeri Sembilan mengungguli tempat kelima sebagai negeri yang menerima paling ramai pelancong pada tahun ini iaitu sebanyak 23.5%.

Keunikan adat dan budaya Negeri Sembilan menjadi tarikan utama mengapa negeri tersebut mampu menawan hati pengunjung luar untuk bercuti ke sana, selain tawaran pelbagai penginapan di tepi pantai Port Dickson yang sering menjadi pilihan percutian hujung minggu terutama bagi warga kota.

NEGERI PALING RAMAI MENERIMA KUNJUNGAN PELANCONG BAGI TAHUN 2020

1 - PAHANG (30.2%)

2 - MELAKA (26.6%)

3 - KUALA LUMPUR (24.7%)

4 - SELANGOR (23.7%)

5 - NEGERI SEMBILAN (23.5%)

= JUMLAH RESPONDEN: 12,281

Sumber: Tourism Malaysia

Destination: