Akur Dengan Sensitiviti Waktu Maghrib, MFL Ubah Waktu Sepak Mula Untuk Aksi Piala FA

SUKAN
June 06, 2024 - 12:23 PM


Selepas menerima kecaman hebat daripada penyokong bola sepak tempatan, badan penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) akhirnya bertindak mengubah semula waktu sepak mula bagi aksi Piala FA antara Kedah Darul Aman FC dengan Bukit Tambun FC pada 14 Jun depan.

Sebelum ini, perlawanan tersebut dijadualkan bermula pada pukul 6.30 petang. Namun MFL kemudiannya menukar semula waktu sepak mula kepada pukul 9 malam.

"Waktu sepak mula perlawanan Kedah Darul Aman FC melawan Bukit Tambun FC pada 14 Jun 2024 (Jumaat) dikemaskini dari pukul 6:30 petang ke pukul 9 malam," kata MFL dalam kenyataan pada Rabu. 

Menurut MFL, keputusan itu diambil selepas mengambil sensitiviti masa perlawanan yang berkemungkinan tinggi menyebabkan terlepas waktu solat maghrib. Sebagai rekod, Kedah dan Bukit Tambun kedua-duanya sebelum ini setuju untuk perlawanan diadakan pada 6.30 petang.

Jika diadakan pada waktu asal, ia berpotensi untuk menyukarkan pemain, staf dan penyokong untuk menunaikan solat tersebut kerana waktunya yang singkat ditambah rehat separuh masa terhad pada 15 minit sahaja.

"Walaupun waktu sepak mula sebelum ini telah dipersetujui oleh kedua-dua kelab berkenaan, kemaskini ini adalah merujuk kepada sensitivi waktu solat maghrib di Kedah," ujar MFL. 

Keputusan mengubah waktu perlawanan itu disambut baik oleh Kedah sebagai tuan rumah perlawanan pertama pusingan 16 pasukan antara kedua-dua kelab.

Kedah mengatakan mereka meminta kepada MFL untuk menimbang semula keputusan mengadakan perlawanan pada 6.30 petang sebelum ini demi keselesaan penyokong.

"Terima kasih MFL! Pindaan masa perlawanan dari 6.30 petang ke 9.00 malam disahkan MFL sebentar tadi selepas KDA FC membuat permohonan untuk meminda masa perlawanan untuk menghormati masa dan memberi laluan kepada penyokong Sang Kenari menunaikan Solat Maghrib," kata Kedah dalam kenyataan mereka. 

Terdahulu, penyokong bola sepak negara terutama Kelab Penyokong Hijau Kuning Negeri Kedah (HKC) dan Green Yellow Supporter Club (GYSC) lantang membantah pengumuman MFL yang meletakkan waktu sepak mula bagi dua aksi pusingan 16 terbaik Piala FA pada jam 6.30 petang. 

 

Sumber: MFL

Destination: