Atlet Kayak Negara Dilanggar Pemandu Mabuk Sebelum Diseret Sejauh 600 Meter

SUKAN
May 15, 2024 - 02:12 PM


Seorang atlet kayak negara yang juga penuntut di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dilaporkan cedera parah dipercayai dilanggar dan dirempuh seorang pemandu mabuk di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) menuju ke Southkey, Sabtu lalu. 

Kejadian tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat. 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PIS, atlet tersebut adalah Siti Nurul Masyitah Md. Elias, 22, yang merupakan penuntut semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal. 

“Menurut saksi dan rakaman, sebuah kereta yang disyaki memandu dalam keadaan terhuyung-hayang telah melanggar mangsa dan diseret sejauh lebih kurang 600 meter dan kini mangsa dirawat di Hospital Columbia Asia kerana mengalami kecederaan yang sangat serius," menurut kenyataan itu.

Difahamkan, mangsa sering berulang-alik dari Politeknik Ibrahim Sultan ke rumah bagi menjaga ibu bapanya yang sakit. Ibu mangsa mempunyai masalah tulang belakang akibat kemalangan manakala bapa mangsa tidak sihat dan perlukan rawatan dialisis.

Dalam pada itu, beberapa gambar ketika kemalangan yang tular di media sosial, ada menunjukkan gambar seorang lelaki yang didakwa sebagai suspek tersenyum membuat isyarat ‘peace‘. 

Untuk makluman, Siti Nurul Masyitah merupakan salah seorang atlet sukan kayak dan Dragon Boat Malaysia yang telah memenangi pingat Perak ketika temasya Sukan Sea 2023. 

 

Sumber: Kosmo

Destination: