Bundesliga: Tamatkan Dominasi Bayern Munich, Bayer Leverkusen Muncul Juara Dengan Rekod Tanpa Kalah

SUKAN
April 15, 2024 - 11:01 AM


Selepas 11 tahun Bayern Munich menjuarai liga utama Jerman, kini dominasi tersebut telah dipecah oleh Bayer Leverkusen yang telah sah ditabal sebagai juara Bundesliga bagi musim 2023/24.

Kejuaraan tersebut disahkan milik mereka selepas menewaskan Werder Bremen dengan keputusan 5-0. Walaupun masih berbaki lima perlawanan liga, jurang mata yang besar dengan Bayern Munich menyebabkan pasukan tempat kedua itu tidak akan mampu memintas Bayer Leverkusen.

Dalam aksi pagi tadi, jaringan Victor Boniface, Granit Xhaka dan Florian Wirtz yang mencipta hatrik telah memuktamadkan Leverkusen sebagai juara Bundesliga sekaligus memusnahkan mimpi Bayern untuk meraih gelaran ke-12 secara berturut-turut.

Bukan itu sahaja, kejuaraan yang diraih menjadi lebih manis apabila Leverkusen masih belum kalah 43 perlawanan dalam semua pertandingan.

Kelab bimbingan Xabi Alonso itu memegang rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan musim ini setelah memecahkan rekod yang dicipta oleh Bayern sebanyak 32 perlawanan tanpa kekalahan dalam semua pertandingan pada Februari lalu.

Sejak Alonso menggalas jawatan jurulatih pada Oktober 2022 lalu, kelab ini telah menghadapi transformasi yang luar biasa. Ketika baru mengambil alih, kelab itu berada di tangga kedua terbawah sebelum bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu membawa mereka ke tempat keenam.

Momentum itu diteruskan ke musim ini apabila pembelian Boniface, Xhaka, Jonas Hofmann dan Alejandro Grimaldo berjaya menyesuaikan diri dengan cepat sehingga memainkan peranan penting untuk mereka memenangi kejuaraan.

Untuk makluman, kejuaraan yang diperoleh ini juga telah mematahkan sumpahan ‘Neverkusen’ yang membelenggu mereka sebagai naib juara abadi Jerman. Ini kerana, mereka telah menduduki tempat kedua dalam liga sebanyak lima kali, tiga kali lebih banyak daripada pasukan lain dan kali terakhir memenangi trofi pada 1993.

 

Sumber: X & The Vocket

Destination: