Carlo Ancelotti Berdepan Hukuman Penjara Selepas Gagal Membayar Cukai Sekitar 1 Juta Euro

SUKAN
March 07, 2024 - 10:45 AM


Pengurus kepada pasukan gergasi Real Madrid iaitu Carlo Ancelotti berdepan dengan hukuman penjara selepas didapati bersalah kerana gagal membayar cukai sekitar 1 juta euro.

Pejabat Pendakwa Raya Sepanyol telah menuntut Carlo Ancelotti dipenjara sehingga empat tahun sembilan bulan atas dakwaan terlibat dalam pengelakan cukai.

Menurut pihak Pendakwa raya, kes ini merujuk kepada kegagalan membayar pendapatan dari imej hak cipta ketika Ancelotti melatih Madrid pada tahun 2014 dan 2015.

Dipetik daripada BBC, Ancelotti dianggap telah mencipta sistem syarikat palsu yang 'mengelirukan' dan 'rumit' untuk menyembunyikan pendapatan tambahannya. Dua agensi berita, Reuters dan AFP juga melaporkan bahawa jurulatih berusia 64 tahun itu telah didakwa atas dua jenayah pengelakan cukai.

“Walaupun dia mengisytiharkan dirinya sebagai pemastautin cukai di Sepanyol dan menyatakan bahawa rumahnya berada di Madrid, namun dia hanya menyatakan gaji atau imbuhan peribadi yang diterima daripada Real Madrid dalam penyata cukai,” kata pendakwa raya dalam satu kenyataan.

Jurulatih yang memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara itu juga dituduh 'menstimulasi' pemindahan hak imejnya kepada entiti 'tanpa aktiviti sebenar' yang berpangkalan di luar Sepanyol untuk mengelak daripada membayar cukai.

Isu pengelakan cukai ini bukan pertama kali berlaku dalam sejarah sukan bola sepak di Sepanyol. Sebelum ini, Jose Mourinho juga pernah berdepan dakwaan berhutang 3.3 juta euro kepada pihak berkuasa cukai Sepanyol ketika berkhidmat di Real Madrid pada 2011-2012.

Untuk makluman, Ancelotti merupakan satu-satunya jurulatih yang memenangi kejuaraan liga di England, Sepanyol, Itali, Jerman dan Perancis.

 

Sumber: Kompas.com

Destination: