"Dapat ‘Pencen‘ Setiap Bulan" - Bekas Pemain Bola, Azmeer Yusof Kongsi Cara Jana Pendapatan

SUKAN
November 14, 2023 - 04:34 PM


Setiap orang pastinya ada rancangan yang tersendiri bagi meneruskan kehidupan di hari-hari yang akan mendatang. Bagi bekas pemain bola sepak Kedah, Azmeer Yusof, dia mempunyai cara tersendiri untuk meneruskan kehidupan selepas bersara awal dari arena bola sepak tempatan.

Menerusi perkongsian di Facebook, dia menceritakan perancangan yang dilakukan bagi menjana pendapatan masa tua dengan membeli sebidang tanah bagi mendirikan rumah lima pintu untuk disewakan.

"Waktu ini sudah nampak perjalanan saya sebagai pemain bola sepak berada di penghujung. Walaupun pada hakikatnya saya boleh bermain lagi lima hingga enam tahun.

"Tetapi saya tetap nak bersara kerana ingin tumpukan kepada kehidupan yang baru iaitu untuk hidup dalam ketenangan," katanya.

Ujar Azmeer, dia membeli sebuah lot tanah berkeluasan 9,000 kaki persegi secara tunai dengan harga RM200,000 bagi membina bangunan rumah sewa lima pintu. Mengikut perkiraan kasar, setiap rumah akan disewakan pada kadar RM500 hingga RM600 sebulan.

Ini bermakna Azmeer akan menjana pendapatan daripada penyewa sekitar RM2,500 sebulan.

"Ia mencukupi untuk tampung kehidupan saya kerana sebelum bersara saya dah langsaikan segala hutang piutang dengan bank.

"Jadi dengan RM2,500 saya boleh hidup tanpa bekerja," katanya lagi.

Tambah Azmeer yang berasal dari Taiping, Perak, dia yakin pemilikan aset seperti tanah dan rumah mampu menjana pendapatan di kemudian hari jika dirancang dengan baik.

"Pemain bola sepak kena terima hakikat tak semuanya business minded. Jadi rumah sewa adalah salah satu pilihan untuk kita dapat income selepas berhenti daripada bola sepak.

"Simpan duit daripada sekarang. Beli tanah, beli rumah dan sewakan. Trust me anda akan dapat ‘pencen‘ setiap bulan. Gaji pemain bola sepak sekarang lima angka.

"Mustahil tak boleh simpan tunai RM500,000 sebelum bersara. Jika rasa tak boleh, tolong semak semula gaya hidup anda," katanya.

Untuk rekod, Azmeer merupakan pemain pertahanan Kedah sewaktu mengumumkan persaraan daripada sukan bola sepak profesional pada 2020.

Kini Azmeer menumpukan sepenuh perhatian dalam bidang perniagaan dan kebajikan selepas menubuhkan Pusat Pengajian Azmeer Yusof (PPAY).

 

Kredit: MStar

Destination: