Gagal Ke Olimpik Paris, Nama Pandelela Dan Nur Dhabitah Digugurkan Dari Program RTG

SUKAN
March 01, 2024 - 12:14 PM


Bersempena dengan temasya sukan terbesar dunia, Olimpik yang bakal berlangsung di Paris Jun ini, sebuah program yang diberi nama Road To Gold (RTG) diadakan bagi mencapai emas dalam kejohanan tersebut.

Namun begitu, berita kurang baik melanda kem terjun negara apabila RTG sebentar tadi telah memutuskan untuk mengeluarkan penerjun wanita negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri daripada program tersebut.

Menurut satu kenyataan rasmi dikeluarkan jawatankuasa tersebut, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri telah melakukan yang terbaik untuk membanggakan negara sepanjang tahun.

Walaupun begitu, disebabkan kedua-duanya tidak berjaya mara ke Sukan Olimpik Paris menerusi Kejohanan Akuatik Dunia di Qatar yang menjadi acara kelayakan terakhir awal bulan ini, nama mereka digugurkan dari RTG.

“Tetapan kriteria program RTG yang jelas, jawatankuasa telah membuat keputusan untuk mengeluarkan Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri daripada program RTG.

“Bagaimanapun, kedua-duanya akan terus menjadi sebahagian daripada Program Podium sebagai atlet elit negara.

“Jawatankuasa RTG akan terus memantau kemajuan mereka dan Program Podium akan bekerjasama rapat dengan atlet dan persatuan untuk memastikan Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri menerima semua sokongan untuk mereka menemui semula rentak yang diharapkan sebelum dipertimbangkan semula untuk dimasukkan ke dalam program pada masa hadapan," kata mereka.

Dalam perkembangan sama, Bertrand Rhodict Lises telah diserapkan ke Program RTG dan Program Fast-Track selepas menjadi satu-satunya wakil negara dalam acara terjun.

Program Fast-Track merupakan misi dalam mewujudkan atlet muda dan berbakat yang baharu berumur antara 16 hingga 25 tahun yang berpotensi untuk memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

 

Sumber: The Vocket

Destination: