Jumpa TMJ, Kim Pan Gon Perjelas Isu Bahaya Bukan Tentang Keselamatan Diri Tetapi Taktikal Pasukan

SUKAN
July 17, 2024 - 12:01 PM


Bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mendedahkan 'bahaya' yang dimaksudkannya pada sidang media khas, semalam bukan dituju kepada mana-mana pihak atau mengenai kebimbangan tentang keselamatannya di negara ini.

Sebaliknya, ia membabitkan isu taktikal pasukan serta salah tafsir sesetengah pihak daripada konteks sebenar yang dimaksudkan 'bahaya' itu.

Pan-gon berkongsi perkara itu dalam pertemuan tertutup bersama pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, malam tadi. 

Selain Tunku Ismail, turut diundang Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan beberapa wakil media tertentu serta sebuah laman media sosial yang dikatakan punca tercetusnya provokasi di laman sosial. 

Difahamkan, perbincangan itu diadakan dalam suasana harmoni dengan Pan-gon menerangkan maksud sebenar perkataan 'bahaya' di depan Tunku Ismail dan tetamu lain.

Dalam sesi itu, Pan-gon turut meluahkan perancangannya selepas pulang ke Korea Selatan. 

Menurut media Korea Selatan, Xsports News, Pan-gon disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengendali baharu Ulsan HD yang kini sedang menduduki tangga kedua saingan K-Leauge 1.

Pan-gon yang tidak asing lagi dalam bola sepak Korea Selatan dikatakan akan menggantikan pengendali semasa Ulsan, Hong Myung-bo yang bakal diangkat sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan negara tersebut menggantikan Jurgen Klinsmann.

Terdahulu, Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor mahu mengetahui apakah dimaksudkan 'bahaya' yang diluahkan Pan-gon hingga mencetuskan polemik dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. 

Pada sidang media khas di Wisma FAM semalam, jurulatih itu seolah-olah merahsiakan perkara sebenar di sebalik keputusannya melepaskan jawatan sebagai pengendali skuad Harimau Malaya.

Kata Pan-gon, beliau tidak boleh berkongsi perkara sebenar kerana ia dianggap 'bahaya' dan hanya diketahui oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Semalam, Pan-gon sah meletakkan jawatan selaku pengendali skuad kebangsaan selepas dua tahun empat bulan membimbing pasukan negara.

Susulan keputusannya itu, bekas pembantunya iaitu Pau Marti Vicente diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad negara sebagai pemangku jurulatih.  

 

Sumber: Harian Metro & Majoriti 

Destination: