Kelayakan Piala Dunia 2026: Seri Dengan Kyrgyzstan, Peluang Malaysia Cipta Sejarah Semakin Tipis

SUKAN
June 07, 2024 - 10:05 AM


Peluang Malaysia untuk mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke Piala Asia 2027 semakin tertutup apabila gagal membawa pulang kemenangan selepas seri 1-1 dengan Kyrgyzstan di Bishkek, malam tadi. 

Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya kekal di kedudukan ketiga saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 dengan mengumpul tujuh mata, dipisahkan tiga mata dengan Kyrgyzstan di posisi kedua yang turut memiliki kelebihan perbezaan jaringan menjelang aksi terakhir. 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

Pada aksi malam tadi, kehilangan beberapa tonggak utama yang mengalami kecederaan tidak menghalang anak buah Kim Pan-gon untuk beraksi baik terutamanya dengan hantaran-hantaran pendek ditampilkan. 

Malaysia mendapat peluang terbaik pada minit ke-21 untuk mencipta jaringan, namun percubaan Paulo Josue dalam kawasan D hasil gerakan di sebelah kanan pintu gol Krygyz dinafikan Erzhan Tokotaev. 

Bagaimanapun, kealpaan barisan pertahanan negara telah dihukum dengan jaringan pembukaan Kyrgyzstan menerusi Alykulov pada minit ke-24 selepas pemain itu menyempurnakan hantaran penyerang Joel Kojo yang terdahulu bijak mengawal bola hantaran jauh Kairat Zhyrgalbek Uulu dari sebelah kiri.

Skuad negara berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38 selepas tandukan Dion Cools ketika situasi sepakan percuma membias terkena Odilzhon Abdurakhmanov. 

Aksi babak kedua menyaksikan tempo permainan lebih perlahan dengan Dos Santos dan Josue masing-masing mempunyai peluang menerusi rembatan dari luar kotak penalti, namun dinafikan Tokotaev manakala Muhammad Azri turut menyelamatkan beberapa percubaan lawan. 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

Usaha kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan pada separuh masa kedua tidak berjaya direalisasikan sekali gus kedudukan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan. 

Sekiranya gagal melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan turut mengesahkan tempat di Piala Asia 2027 secara automatik, Malaysia dijadual mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 untuk membuat penampilan kali kedua berturut-turut di pertandingan itu. 

 

Sumber: Buletin TV3

Destination: