Piala Dunia 2026: Malaysia Miliki Peluang Cerah

SUKAN
November 16, 2023 - 11:03 AM


Skuad Harimau Malaya yang dibimbing oleh pengendali import Korea Selatan, Kim Pan-gon dilihat memiliki peluang keemasan dalam memburu tiket pada kelayakan ketiga Piala Dunia 2026 sebagai dua pasukan terbaik peringkat kumpulan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin memberitahu, selepas diundi dalam kumpulan bersama Oman, Kyrgyztan dan Taiwan, beliau merasakan peluang skuad kendalian Pan-gon agak cerah.

“Andai ditanya tahap keyakinan, saya 55 peratus yakin tetapi kita kena buat kerja dan semua pemain serta jurulatih faham kerana kita perlu berusaha.

“Bukan kata kita berkeyakinan tinggi tetapi pasukan ini boleh ‘makan’ Kyrgyzstan dan Taiwan, jika Oman pula kita 50-50 kerana pasukan itu lebih kurang seperti Jordan dan Bahrain,” kata Hamidin.

Skuad Harimau Malaya tidak pernah layak ke pentas kelayakan terakhir Piala Dunia zon Asia dan sekiranya berjaya kali ini, ia merupakan sejarah baharu buat bola sepak Malaysia.

Pada aksi kelayakan terakhir nanti, 18 pasukan terbaik kelayakan kedua bakal bersaing merebut lapan slot untuk layak ke peringkat Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.

Malaysia akan menentang Kyrgyzstan dalam perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 malam ini.

 

Sumber: Kosmo

 

Destination: