Skuad Harimau Malaya Dibarisi Pemain Naturalisasi, Adam Adli Jelaskan Malaysia Mempunyai 16,228 Pemain Pelapis

SUKAN
March 05, 2024 - 12:46 PM


Kerisaukan peminat sukan bola sepak tempatan berkenaan dengan bakat muda negara muncul selepas melihat skuad Harimau Malaya diwakili seramai empat pemain naturalisasi dan tujuh pemain kacukan dalam Kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar, baru-baru ini.

Namun begitu, kebimbangan tersebut 'dilegakan' oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim yang mengatakan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebenarnya sedang giat menyediakan platform bagi mencari bakat baharu bola sepak negara.

Ujarnya, dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara yang dijalankan sejak 2014, fokus utama diberikan kepada anak muda berusia tujuh hingga 17 tahun.

"Program ini telah diselaraskan dengan pelan jangka panjang bola sepak Malaysia oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dikenali sebagai F30.

“Sehingga kini, program pembangunan bola sepak negara mempunyai seramai 16,228 pemain, 767 orang jurulatih daripada 63 Akademi Tunas, 63 pusat latihan daerah dan 14 buah sekolah sukan negeri.

“Selain itu, kita juga mempunyai sebuah sekolah sukan Malaysia dan sebuah Akademi Bola Sepak Malaysia Mokhtar Dahari (AMD),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata FAM telah menghentikan buat sementara program naturalisasi pemain di peringkat kebangsaan.

Kenyataan tersebut dijelaskan oleh Adam Adli bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH - Tebrau) yang ingin tahu jumlah pemain diberi kewarganegaraan bagi mewakili Malaysia dalam Piala Asia baru-baru ini dan apakah usaha FAM memajukan sukan itu termasuk persoalan sama ada dasar naturalisasi diteruskan.

 

Sumber: Astro Awani

Destination: