"Dia Akan Pengsan" - Skuad B-23 Perlu Lupakan Arif Aiman
SUKANPasukan bawah 23 (B-23) tahun negara yang bakal beraksi dalam kempen Piala Asia B-23 di Doha, Qatar pada April ini perlu melupakan impian untuk membawa bintang muda, Arif Aiman Hanapi.
Ini kerana, Arif Aiman baharu sahaja beraksi bersama skuad senior di Piala Asia bulan lalu. Malah menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, penglibatan Arif Aiman dalam skuad B-23 negara akan menjejaskan prestasi pemain tersebut.
Selain itu, berdasarkan amalan biasa pasukan-pasukan terutamanya di Eropah, jarang pemain muda yang sudah beraksi bersama skuad senior bermain dengan pasukan bawahan.
"Nanti kita tengok dulu senarai daripada jurulatih. Kalau kita lihat dekat Eropah, pemain bawah umur apabila mereka bermain dekat atas (pasukan senior), mereka sudah tak pergi ke bawah lagi.
"Ia kerana kalau kita tengok pemain macam ini, jika semua perlawanan dia pergi, dia akan pengsan sekiranya main semua.
"Kesudahannya pada kelab dan pasukan dia, tetapi saya belum dapat senarai dari Juan Torres lagi siapa yang dia nak panggil," katanya.
Sebelum ini timbul cadangan agar pemain berusia 21 tahun itu di bawa ke Qatar bersama skuad B-23 di Piala Asia nanti agar dapat membantu pasukan mara sejauh mungkin sekali gus menggenggam tiket ke Sukan Olimpik Paris, Julai ini.
Berdasarkan format kelayakan ke Olimpik, tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 itu akan layak secara automatik ke Olimpik manakala satu lagi pasukan terpaksa mengharungi aksi playoff bertemu wakil Afrika, Guinea untuk merebut slot terakhir.
Sumber: Harian Metro