Liverpool Ajar Manchester United Cara Main Bola di Old Trafford

SUKAN
September 02, 2024 - 10:04 AM


England: Erik ten Hag tidak mempunyai jawapan dan kalah di tangan warga senegaranya dari Belanda, Arne Slot apabila Liverpool menghukum pasukannya Manchester United 3-0 di Old Trafford sebentar tadi.

Dua gol daripada pemain sayap dari Colombia, Luis Diaz dan gol ketiga daripada penyerang terbilang dari Mesir, Mohamed Salah membolehkan Slot mengekalkan rekod sempurna tiga kemenangan daripada tiga aksi pertama kendaliannya bersama pasukan Merseyside itu.

Lebih mengagumkan, anak buahnya tidak dibolosi sebarang gol dalam tempoh itu dengan dua kemenangan 2-0 dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris menentang Ipswich dan Brentford.

United menang tipis aksi pertama di Fulham 1-0 tetapi tewas 2-1 apabila mereka bertandang ke Brighton hujung minggu lalu.

Malah gerakan sama juga menghasilkan gol pertama dan kedua dengan Diaz menanduk masuk hantaran silang Salah pada minit ke-35 untuk membuka tirai jaringan sekali gus melenyapkan seketika sorakan gempita penyokong di Old Trafford.

Tiga minit sebelum rehat, gandingan dua pemain itu mempamerkan bisa sekali lagi dengan Diaz melakukan rembatan kaki kanan dari kawasan tengah kotak penalti ke penjuru kanan gol yang dikawal Andre Onana.

Salah, yang berbangga dengan rekod menjaringkan gol pada setiap hari pembukaan EPL, merembat kencang dengan kaki kiri ke penjuru kanan pintu gol lawan selepas menerima umpanan Dominik Szoboszlai pada minit ke-56.

Bintang serangan dari Mesir itu kini menjaringkan atau membuat umpanan 19 daripada 25 gol Liverpool dalam pertembungan liga menentang United.

United menang 29 daripada pertemuan pertama antara dua musuh tradisi itu, manakala Liverpool menang 19 kali dengan 16 seri.

Namun di sebalik United mempunyai lebih 10 kemenangan, Liverpool sebenarnya mendahului 86-83 secara agregat.

Kemenangan malam ini juga menyaksikan Liverpool kembali ke tangga kedua liga, muncul salah satu daripada dua pasukan selain Manchester City yang mengekalkan rekod sempurna menang tiga aksi pertama.

Anak buah Slot hanya menghuni tangga kedua menerusi perbezaan gol di belakang juara bertahan City.

- BeritaHarian