PSM Bakal Adakan Mesyuarat Post-Mortem Berkenaan Padang SNBJ Awal Minggu Depan
SUKANIsu keadaan padang yang teruk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sering diperkatakan banyak pihak lagi-lagi apabila pasukan negara akan turun beraksi menggunakan padang tersebut dalam sesuatu perlawanan.
Terbaru, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bakal mengadakan mesyuarat pascanilai (post-mortem) berkenaan isu padang SNBJ pada awal minggu hadapan.
Perkara itu disahkan PSM menerusi laman X yang memaklumkan mesyuarat mengenai gelanggang keramat skuad Harimau Malaya itu akan diadakan bersama juruperunding dan kontraktor padang SNBJ.
"PSM komited untuk terus membuat penambahbaikan dan akan memberikan maklum balas selepas 'post-mortem'," menurut kenyataan itu.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan mengadakan mesyuarat 'post mortem' bersama juruperunding dan kontraktor padang SNBJ pada awal minggu hadapan. PSM komited untuk terus membuat penambahbaikan dan akan memberikan maklumbalas selepas 'post mortem'.#StadiumNasional #PSM
— Stadium.Malaysia 🏟️🇲🇾 (@StadiumMalaysia) March 28, 2024
Keadaan padang SNJB menjadi perdebatan hangat sebelum ini susulan tular sebuah video dan gambar yang menunjukkan permukaan padang yang rosak selepas penganjuran konsert penyanyi antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Feb lalu.
Malah isu sama turut berlaku pada November tahun lalu apabila PSM membenarkan konsert Coldplay dianjurkan sekali gus mengakibatkan permukaan padang rosak meskipun rumput jenis Zeon Zoysia itu baru ditukar.
Isu ini menjadi semakin panas apabila ramai peminat Harimau Malaya dapat melihat keadaan rumput yang mudah tercabut dalam aksi menentang Oman pada selasa lepas yang akhirnya memihak pasukan lawan dengan keputusan 2-0.
Sumber: Bernama