TMJ Taja Rumput Hibrid Untuk Stadium Nasional Bukit Jalil

SUKAN
April 17, 2024 - 11:15 AM


Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal ditukar ke rumput jenis Hibrid apabila pemilik kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan mendermakan rumput jenis itu untuk ditanam di padang SNBJ.

Menurut kenyataan rasmi Johor Southern Tigers (JST), hasil kaji selidik yang telah dijalankan oleh JDT menunjukkan rumput Hibrid lebih sesuai ditanam di SNBJ. 

“Hasil kaji selidik yang dijalankan di padang Stadium Nasional Bukit Jalil telah menunjukkan bahawa rumput hibrid lebih memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya sesuai untuk acara sukan serta bukan sukan.

“Berdasarkan hasil kaji selidik tersebut dan kejayaan penyelidikan yang dijalankan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim di Larkin, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan mendermakan rumput jenis hibrid yang sedang ditanam di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos kepada Stadium Nasional,” kata kenyataan rasmi. 

Inisiatif itu dititahkan oleh Baginda selepas mengadakan pertemuan bersama YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan serta YBhg Datuk Seri Windsor John, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini, 16 April 2024. 

Sebelum ini, TMJ ada mendermakan rumput Zeon Zoysia kepada SNBJ. Kini, rumput tersebut akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara, KL Sports City.

Untuk info, padang jenis Hibrid ini adalah gabungan penggunaan rumput asli dan juga rumput sintetik pada kadar ratio yang sama untuk memaksimakan kelebihan masing-masing. Rumput ini juga dikenali dengan banyak nama seperti Xtragrass atau pun ‘Reinforce Natural Grass’ dan telah banyak digunakan di negara-negara eropah.

Antara kelebihan menggunakan rumput Hibrid berbanding rumput asli atau rumput sintetik adalah ia mempunyai keadaan yang sama seperti rumput asli selain mempercepatkan proses pemulihan rumput asli yang rosak dengan lebih cepat.

Bukan itu sahaja, penggunaan rumput Hybrid juga menjadikan padang 3 kali ganda lebih lasak sekali gus mengurangkan kos penyelenggaraan dalam tempah jangka masa panjang sehingga 70%. Rumput jenis juga dikenali kerana ketahanan yang lebih tinggu terhadap perubahan suhu.

 

Sumber: X & The Vocket

Destination: