Semangat Patriotisme Terlalu Nipis, KPG Kecewa Pemain Lebih Utamakan Kelab

SUKAN
July 26, 2024 - 02:59 PM


Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengakui kecewa dengan sesetengah pemain negara yang tidak menunjukkan komited untuk bersama Harimau Malaya. 

Dalam satu temu bual bersama Astro Arena, Pan Gon menjelaskan terdapat sesetengah pemain yang dilihat lebih mengutamakan kelab berbanding negara. 

Pan Gon juga mengakui bahawa dia gagal untuk menanam rasa kecintaan pemain terhadap negara setiap kali beraksi bersama-sama Harimau Malaya.

"Saya tidak berjaya dalam misi menanam semangat patriotisme dalam kalangan pemain-pemain negara, semangat kenegaraan pemain negara terlalu nipis, mereka tidak meletakkan keutamaan kepada skuad kebangsaan di tempat sepatutnya.

"Bagi saya ini adalah sesuatu yang hilang dan saya rasa tidak berjaya capai, kita perlu fikir kepentingan semangat patriotisme berjuang untuk negara. 

“Saya tidak mahu bercakap banyak kerana mereka pemain profesional, saya hanya mahukan lebih komitmen dalam patriotik dan itu yang saya tekankan, saya rasa kita perlukan lebih perkara itu​," kata Pan Gon.  

Sebelum ini, jurulatih dari Korea itu pernah berdepan situasi dimana beliau terpaksa mengharungi perlawanan tanpa pemain yang beliau mahu.

Namun begitu, beliau cukup profesional untuk memastikan Malaysia kekal memberikan saingan terbaik walaupun tanpa pemain utama. 

Dalam pada itu, Kim Pan Gon mengucapkan terima kasih kepada penyokong Malaysia kerana telah memberikan sokongan padu semasa beliau mengendalikan pasukan negara.

 

Sumber: Astro Arena

Destination: