Terbuka All England 2024: Aaron-Wooi Yik Gagal Raih Kejuaran
SUKANImpian pasangan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk meraihkan kejuaraan All England nampaknya tidak berjaya apabila permainan yang ditunjukkan kedua pemain tersebut pada aksi final jelas berbeza dengan aksi di peringkat suku akhir dan separuh akhir.
Segalanya nampak serba tidak menjadi buat Aaron-Wooi Yik seawal set pertama apabila melakukan banyak kesilapan mudah sehingga membolehkan pemain lawan mengutip banyak mata percuma. Kedua pemain itu kelihatan gementar sehingga tidak mampu menampilkan aksi yang terbaik seperti di peringkat separuh akhir.
Memasuki set kedua, bekas juara dunia itu kembali memperkemaskan permainan dengan harapan untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun hampa apabila masih melakukan kesilapan mudah sehingga perlu akur dengan kekalahan yang menyaksikan mereka terlepas kejuaraan tersebut.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, Aaron-Wooi Yik kalah straight set 16-21, 16-21 kepada juara bertahan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Kali terakhir Malaysia muncul juara pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu adalah ketika perseorangan lelaki, Lee Zii Jia muncul juara edisi 2019 manakala beregu lelaki menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 17 tahun lalu.
Untuk rekod, juara acara beregu untuk kejohanan All England membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$96,200 (RM449,975) dan naib juara meraih AS$45,500 (RM212,826) manakala juara perseorangan menerima AS$91,000 (RM425,652) sementara naib juara AS$44,200 (RM206,745).
Sumber: Kosmo