BATC 2024: Dibelenggu Kecederaan, Hasrat Malaysia Pertahan Kejuaraan Tidak Kesampaian
SUKANImpian skuad lelaki negara untuk mengekalkan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) dibumi Malaysia tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada China dalam aksi final di Pusat Konvensyen Setia City, semalam.
Masalah kecederaan yang membelenggu dua pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong menyaksikan Malaysia perlu menggunakan khidmat Leong Jun Hao sebagai pemain pertama.
Difahamkan, Zii Jia mengalami masalah kesukaran bernafas akibat resdung manakala Tze Yong pula belum pulih sepenuhnya dari kecederaan belakang.
Jun Hao yang sebenarnya baru pulih dari kecederaan perlu menerima kekalahan selepas Weng Hong Yang berjaya menunduknya dalam dua set, 19-21 dan 17-21.
Usaha pasangan juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk memberi harapan kepada kem badminton negara dilihat gagal apabila ditewaskan oleh Xie Hao Nan-Zheng Wei Han, 16-21 pada set pertama, sebelum kembali bangkit merampas set kedua dengan kemenangan 21-16.
Aaron-Wooi Yik bagaimanapun gagal mengatasi pasangan tersebut dalam set penentuan yang berlangsung selama 66 minit dengan keputusan 21-23.
Perseorangan negara Eogene Ewe yang dipertaruhkan Malaysia selepas ketinggalan 0-2, juga menyaksikan ranking ke-298 itu meneruskan langkah sumbang apabila mudah ditewaskan oleh Lei Lan Xi menerusi permainan straight set 10-21 dan 14-21.
Ditanya sekiranya strategi Malaysia terganggu selepas beberapa tonggak utama negara terpaksa direhatkan, Aaron berkata ia adalah sebahagian daripada cabaran seorang atlet. Menurutnya, mereka harus cepat bertindak menyelesaikan masalah tersebut berbanding melihat perkara itu sebagai masalah.
“Saya rasa bukan satu masalah sebab kami selaku satu pasukan kalau siapa cedera, kita hanya boleh (pilih pemain) lain main. Kita harus selesaikan masalah itu.
“(Lagipun kejohanan) ini adalah persediaan yang baik kerana jika kita tak sertai perlawanan ini, lima minggu kita tak sertai apa-apa kejohanan,” katanya.
Wooi Yik pula menganggap isu berkenaan perlu dilihat dari sudut positif selain merupakan pengalaman berharga buat mereka sekiranya berlaku pada kejohanan akan datang.
Pada edisi dua tahun lepas yang berlangsung di venue sama, skuad lelaki negara berjaya muncul juara buat pertama kali selepas mengatasi Indonesia 3-0 di pentas final.
Sumber: Malaysia Gazette