Jelajah Dunia Akhir BWF 2023: Laluan Berliku Menanti Aaron-Wooi Yik & Tang Jie-Ee

SUKAN
December 12, 2023 - 11:32 AM


Kejohanan penutup siri Jelajah Dunia 2023 yang bakal berlangsung di Hangzhou, China akan bermula rabu sehingga ahad ini. Laluan yang sukar menanti dua wakil Malaysia iaitu beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Aaron dan Wooi Yik diundi dalam Kumpulan A bersama dua gandingan dari China melibatkan ranking pertama dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dan Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi selain wakil Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Manakala Tang Jie-Ee Wei pula diundi dalam kumpulan A bersama pemenang gangsa Kejohanan Dunia 2023, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun, pasangan keempat dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping yang merangkul tujuh gelaran juara musim ini selain gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh- Sapsiree Taerattanachai.

Berdasarkan format pertandingan kejohanan yang menawarkan hadiah lumayan bernilai $210,000 (RM982,275.00) bagi juara kategori beregu itu, hanya dua pasangan teratas setiap kumpulan sahaja yang layak ke separuh akhir.

Untuk rekod, Malaysia tidak memiliki wakil di acara perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan beregu wanita selepas pemain negara gagal berada dalam kelompok lapan terbaik dalam 'Race to BWF World Tour Finals 2023'.

 

Sumber: Sinar Harian

Destination: