"Tiada Rasuah, Salah Guna Kuasa & Penyelewengan Dalam FAM" - SPRM

SUKAN
May 20, 2024 - 12:13 PM


Dua siasatan membabitkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disahkan tidak mempunyai sebarang isu rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan. 

Siasatan agensi penguatkuasa itu dijalankan terhadap isu projek pembinaan National Training Center (NTC) di Putrajaya yang dianggar bernilai RM25 juta dan isu tohmahan rasuah oleh kepimpinan dan pengurusan FAM sewaktu penganjuran kongres FAM ke-60.

Difahamkan, SPRM sudah menjalankan siasatan rapi berhubung kedua-dua isu yang dibangkitkan, sebelum ia diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan susulan.

"SPRM menjalankan siasatan ke atas isu rasuah di FAM yang membabitkan pelaksanaan projek NTC di Putrjaya bernilai hampir RM25 juta. Kos pembangunan projek ini menggunakan dana yang diberikan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). 

"Selain itu, SPRM juga menyiasat tohmahan dan dakwaan rasuah dalam penganjuran kongres FAM yang ke-60.

"Hasil siasatan terhadap dua isu ini sudah diselesaikan oleh SPRM dan dirujuk kepada TPR dan TPR berpuas hati dengan hasil siasatan berkenaan serta memutuskan kes sebagai NFA (tiada tindakan lanjut). 

"Tiada sebarang isu rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dikesan dalam dua siasatan itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan kedua-dua kes yang disiasat itu diputuskan NFA oleh TPR. 

Jelasnya, SPRM telah menjalankan siasatan yang menyeluruh dan tidak menemui sebarang keterangan rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan

Sebelum ini, timbul isu tohmahan dan dakwaan rasuah dalam penganjuran kongres FAM yang ke-60 menjadi perbualan ramai selepas 'surat layang' dalam bentuk e-mel tular di media sosial.

Ia membangkitkan empat perkara utama iaitu penyalahgunaan kuasa oleh Setiausaha Agung FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek NTC, sebelum berlangsungnya Kongres Tahunan ke-60 FAM, bulan lalu.

Dakwaan itu mendapat perhatian SPRM yang kemudiannya masuk menyiasat. 

 

Sumber: Berita Harian

Destination: