VAR Dah Sampai Malaysia, Bakal Digunakan Dalam Liga M Musim Hadapan

SUKAN
November 28, 2023 - 03:21 PM


Khabar baik untuk peminat sukan bola sepak tanah air apabila empat set sistem video bantuan pengadil (VAR) telah diterima Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Sistem tersebut kini berada di Wisma FAM untuk tujuan latihan pengadil sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan set VAR tersebut masih belum lengkap dan mereka akan menggunakan kaedah trak bergerak bagi membolehkan VAR beroperasi di setiap venue perlawanan.

“Empat set VAR dah sampai ke Malaysia, tapi VAR set itu bukan bermakna semua kelengkapan. Kelengkapan diperlukan di belakang tabir adalah macam ‘server’ dan skrin sentuh semua dah sampai.

“Sebagaimana kita laporkan sebelum ini, VAR akan dilaksanakan di peringkat mobile dalam trak. Trak VAR itu kita dalam proses membeli atau mendapat penajaan trak tersebut, dan ia akan melengkapkan kesemua kelengakapan,” katanya.

VAR adalah sistem video yang membolehkan pengadil melihat semula insiden yang kurang jelas di atas padang dalam memastikan keputusan yang diambil adalah tepat.

MFL kini dalam proses untuk mendapatkan kelulusan FIFA pada Februari tahun depan sebelum ia boleh dilaksanakan dalam saingan Liga Malaysia yang dijangka bermula pada bulan April nanti.

Seramai 40 pengadil Malaysia bersama 14 ‘replay operator’ telah pun menjalani latihan fasa kedua pengendalian VAR pada 26 Ogos hingga 11 September 2023 sebagai langkah persiapan awal.

Pada September lalu, Datuk Stuart mendedahkan bahawa penggunaan sepenuhnya teknologi VAR dalam Liga M musim hadapan akan menelan perbelanjaan sebanyak RM9.7 juta.

Kini, seramai 20 orang pengadil tempatan bakal terlibat dalam latihan Video Bantuan Pengadil (VAR) fasa ketiga bermula 20 November hingga 4 Disember sebagai langkah untuk mempersiapkan mereka bagi mengadaptasi teknologi tersebut ketika penggunaannya dalam Liga Malaysia.

Selain itu, fasa ini juga akan disertai oleh seorang instruktur VAR FIFA, Igor Radojcic dari Serbia.  

 

Gambar & Sumber: FB FAM & The Vocket

Destination: