7 Fakta Menarik Tentang Rawang Bypass

GAYA HIDUP
May 17, 2021 - 07:22 PM


Siapa je yang tak pernah dengar tentang Jalan Pintasan Rawang ataupun Rawang Bypass ni kan? Pada awal dibuka, Rawang Bypass menjadi bualan hangat dan ramai yang saja-saja nak lalu sebab Rawang Bypass merupakan jalan bertingkat paling tinggi dalam negara. 

Tapi sekarang, Rawang Bypass sekali lagi menjadi bualan hangat para hikers yang berpusu-pusu mendaki Bukit Kuari untuk melihat Rawang Bypass dari atas, menjanjikan pemandangan yang sangat cantik, dan spot bergambar yang sangat unik. 

Tapi Min nak ingatkan, kawasan yang kebanyakan hikers lalu untuk dapatkan pemandangan Rawang Bypass adalah tanah milik JKR, dan semua risiko melalui jalan tersebut adalah ditanggung oleh pada hikers sendiri. 

Macam tak percaya, tapi Lebuhraya Rawang-Serendah tersebut sebenarnya mengambil masa 12 tahun, dan RM628 juta untuk dilengkapkan. Haa, menarik kan? Jadi ini dia 7 lagi fakta menarik tentang Jalan Pintasan Rawang, ataupun Rawang Bypass: 

1. TIADA TOL

Orang Lembah Klang macam Min sendiri memang dah lelah sangat dah dengan bayar tol ni, jadi, apabila Jalan Pintasan Rawang ni dibuka tanpa tol, memang sangat melegakan untuk mereka yang berulang-alik Kuala Lumpur, dan Rawang untuk berkerja. 

Apa kata, kita buat banyak lagi jalan tanpa tol? Hehe 

2. PROJEK TERGENDALA HAMPIR 6 TAHUN

Lebih tepat lagi, projek ini pernah tergendala selama 2132 hari dek prosedur dan proses-proses daripada pihak ketiga, yang langsung diluar kawalan JKR. 

3. PERJALANAN 2 JAM, JADI 30 MINIT

Sebelum ini, mereka yang memulakan perjalanan dari Bandar Rawang memerlukan masa lebih kurang 2 jam untuk ke Kuala Lumpur pada waktu puncak. Tetapi, dengan lebuhraya 4 lorong Rawang Bypass, jadi 30 minit je walaupun pada waktu puncak! 

4. MELALUI TAMAN WARISAN NEGERI SELANGOR

Rawang Bypass dibina melalui jajahan Taman Warisan Negeri Selangor sebesar 108,000 hektar, iaitu Taman Warisan ketiga terbesar Semenanjung Malaysia. Maksudnya, sambil memandu di atas Rawang Bypass, korang akan disajikan dengan pemandangan yang sangat tenang. 

5. PEMBINAAN MESRA ALAM

Antara sebab mengapa Rawang Bypass dibina sangat tinggi, dan juga jalan yang bengkang bengkok adalah untuk mengelak daripada terlalu banyak pokok-pokok ditebang, dan akan menjejaskan eko-sistem. Jalan yang bengkang-bengkok telah berjaya mengekalkan sebanyak mungkin pokok dibawah binaan lebuhraya itu. 

6. RUMAH KEPADA GIAM KANCHING 

Giam Kanching merupakan sejenis spesis pokok yang hanya terdapat di Malaysia sahaja, dan hanya di Taman Warisan Negeri Selangor sahaja. Disebabkan Giam Kanching sangat berharga kepada Malaysia, dan turut disenaraikan sebagai spesis terancam, pembinaan lebuhraya ini turut mengambil kira langkah-langkah untuk mengelakkan kerosakan pada spesis Giam Kancing. 

7. JALAN BERTINGKAT SEPANJANG 2.6KM, SETINGGI 60 METER

Ini merupakan fakta menarik yang menjadi faktor utama ramai ingin melalui jalan tersebut semata-mata, walaupun tiada urusan di Rawang. Bayangkan kalau Min ada kereta convertible dan lalu disini, disajikan dengan pemandangan hutan, dan angin malam. Peh! 

 

Destination: