Terima Teguran Terbuka TMJ, Izhar Moslim Masih Tak Tahu Apa Salahnya di Selangor FC

GAYA HIDUP
August 10, 2022 - 03:16 PM


Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik satu hantaran Instastory mengenai salah seorang individu yang berada dalam barisan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Izhar Moslim mengenai salah lakunya dalam pengurusan.

Menurut baginda, Izhar melantik kroninya untuk berada dalam persatuan dan merupakan punca kepada kemerosotan Selangor FC dalam beberapa musim.

TMJ juga mahu pengerusi Selangor iaitu Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj supaya mengambil tindakan segera terhadap Izhar.

Setakat ini, Izhar masih membisu dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas bagi menjawab Instastory TMJ.

Harimau Malaya sebelum ini pernah berjumpa dengan Izhar dan beliau pernah memberitahu bahawa beliau pelik mengapa dirinya sering dipersalahkan atas persembahan hambar Selangor.

Menurut Izhar, beliau tidak tahu apa salahnya sehingga sering dikecam oleh para penyokong.

Beliau kerap kali dilihat berada di stadium bersama barisan pengurusan lain seperti ketua pegawai eksekutif kelab, Dr Johan Kamal Hamidon.

Beliau juga kadang-kala akan duduk di tempat duduk penyokong bersama penyokong-penyokong Selangor lain.

Izhar dikatakan mempunyai pengaruh besar dalam Selangor dan merupakan antara individu yang bertanggungjawab dalam membuat keputusan penting.

Dengan ‘pendedahan’ TMJ ini, peminat pastinya tertunggu-tunggu kenyataan balas oleh Izhar sama ada mahu menyangkal dakwaan itu atau sebaliknya.

Selain itu, mungkin penjelasan oleh RMS dapat memberi pencerahan kepada para peminat mengenai apa sebenarnya yang berlaku.

Sumber: HarimauMalaya