91 Murid SK Pulau Gaya Keracunan Makanan, Operasi Kantin & RMT Dihentikan Serta Merta

TERKINI
July 23, 2024 - 04:24 PM


Jabatan Pendidikan Sabah telah menghentikan penjualan di kantin dan rancangan makanan tambahan (RMT) buat sementara waktu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, Kota Kinabalu selepas 91 muridnya mengalami keracunan makanan. 

Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin, berkata semua murid berkenaan dikesan mengalami gejala keracunan makanan dan sudah diberi rawatan di beberapa hospital dan klinik sekitar ibu negeri.

“Insiden mula dikesan pada kira-kira pukul 12 tengah hari semalam apabila guru mendapati ada murid mengalami muntah-muntah dan beberapa simptom lain,” katanya. 

Menurutnya, pihak sekolah telah bertindak segera mengumpul maklumat murid yang terbabit kes keracunan itu dan kemudiannya membawa 55 murid ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah.

Manakala, selebihnya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (25) dan Klinik Kesihatan Luyang (8) dan tiga lagi di premis kesihatan pesakit luar. 

“Sekolah juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar membawa anak jagaan masing-masing untuk mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran sekiranya terdapat simptom keracunan makanan,” katanya. 

Raisin berkata, status kesihatan murid ketika dirawat ialah pada tahap dua dan dalam pemantauan pihak hospital, manakala tiada kes tahap kritikal.

“Seramai 90 peratus murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan 10 peratus lagi dibenarkan balik ke rumah. Pihak PPDKK telah membuat janji temu dengan pasukan Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel di sekolah pada hari ini (23 Julai)," jelasnya lagi. 

Raisin berkata PPDK juga telah mengarahkan supaya perkhidmatan kantin dan RMT diberhentikan serta merta demi keselamatan murid buat sementara waktu. 

 

Sumber: Kosmo

Destination: