Bank Negara Malaysia Keluar Kenyataan Mengenai Quantum Metal

TERKINI
January 22, 2024 - 11:39 AM


Bagi mereka yang suka melabur, pasti kenal akan syarikat Quantum Metal Sdn. Bhd. (QMSB). Kebelakangan ini, nama syarikat tersebut menjadi perhatian ramai ekoran status pulangan pelaburan yang menjadi tanda tanya di kalangan pelabur.

Terkini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai beberapa dakwaan dan salah nyata fakta yang sedang tersebar luas dalam kalangan orang awam berkenaan dengan urusan QMSB.

Berdasarkan kenyataaan dari BNM, QMSB adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam urusan logam berharga atau batu berharga, dan oleh itu ia tertakluk kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

QMSB berurusan dengan logam atau batu berharga, iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA bersama-sama dengan sektor perniagaan dan profesion bukan kewangan yang ditentukan yang lain seperti peguam, akauntan, syarikat amanah dan setiausaha syarikat.

Walau bagaimanapun, dengan status QSMB sebagai institusi pelapor tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaannya, seperti produk dan dagangan emas, adalah didaftarkan, diluluskan atau dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM.

Sebagai sebuah institusi pelapor, QMSB dikehendaki melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan aktiviti institusi tersebut daripada disalahgunakan sebagai saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau aktiviti pembiayaan keganasan.

BNM juga telah memaklumkan mengenai pelbagai dakwaan menerusi media sosial bahawa semua transaksi masuk dari luar negara memerlukan kelulusan dan pengesahan BNM berhubung dengan AMLA.

BNM telah menegaskan bahawa tidak semua transaksi masuk dari luar negara memerlukan pengesahan dan kelulusan BNM di bawah AMLA. Hanya transaksi yang melibatkan pinjaman luar pantai yang melebihi had yang ditetapkan oleh dasar pertukaran asing sahaja yang perlu mendapat kebenaran dari BNM.

BNM mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya oleh mana-mana individu yang salah guna nama BNM dan surat rasmi yang boleh menimbulkan kesan bahawa produk atau perkhidmatan mereka telah diluluskan oleh BNM.

Selain itu, BNM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada ketika membuat keputusan pelaburan. Sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan dan tidak sah sepatutnya dilaporkan kepada pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang yang berkenaan.

 

Sumber: X, Buletin TV3 & Dagang News

Destination: