Bungkusan Pelik Berbalut Benang Ditemui Di Atas Pusara Bapa Muhyiddin

TERKINI
June 18, 2024 - 03:22 PM


Sudah menjadi amalan buat umat Islam di Malaysia menziarahi pusara ahli keluarga yang telah meninggal dunia pada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha. 

Namun siapa sangka, ketika pergi menziarahi, ada benda pelik yang ditemui pada pusara yang dipercayai dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai Danial telah menjumpai bungkusan yang diikat dengan benang ditemui pada pusara arwah datuknya di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 1 Muar, Johor.

Menerusi pekongsian video diakaun TikTok @dnlfrhn11, salah seorang ahli keluarganya sedang mengutip beberapa bungkusan yang diikat dengan benang di kubur arwah datuknya, Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad.

Untuk yang tidak tahu, Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad merupakan bapa kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

“Terjumpa di kubur atok pagi raya ini (17 Jun). Apa benda ya? Yang kita tahu ini syirik,” tulis Daniel menerusi ruang kapsyen. 

@dnlfrhn11

Terjumpa di kubur atok pagi raya ni.. Apa benda ya ni? Yang kita tahu ini syirik

♬ Takbir Hari Raya - Ibrahim Elhaq

Penemui tersebut mengejutkan pengguna TikTok yang rata-ratanya meminta keluarga Daniel berhati-hati ketika mengutip bungkusan tersebut kerana dipercayai boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.

Untuk rekod, Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad merupakan ulama tersohor di Malaysia suatu masa dahulu dan telah meninggal dunia pada 1975 pada usia 73 tahun.

Beliau juga merupakan penerima Pingat Sultan Ibrahim pada tahun 1955 sebagai seorang daripada 40 tokoh ulama di Johor.

Beliau juga telah mengasaskan dua buah sekolah iaitu Madrasah As-Saadiah (aliran agama) dan Sekolah Menengah Mohd Yassin (aliran akademik) di daerah Muar bagi menyebarkan ilmu kepada anak-anak tempatan.

 

Sumber: Kosmo

Destination: