Bunuh & Lakukan Serangan Seksual Ke Atas Bayi 11 Bulan, Pelaku Kekal Ke Tali Gantung

TERKINI
July 02, 2024 - 03:03 PM


Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas tukang gunting rambut kerana membunuh anak asuhan isterinya berusia 11 bulan dikenali sebagai 'Baby Zara', enam tahun lalu.

Mangsa Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal turut mengalami kecederaan seksual dan laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan vagina bayi berkenaan sangat serius sehingga doktor terpaksa menjahit luka dengan dua jahitan bagi menghentikan pendarahan.

Ketika kejadian, Baby Zara berusia 11 bulan dengan berat badan hanya 8.26 kilogram dan belum tumbuh gigi turut mengalami kecederaan pada dubur dan pendarahan serius pada keseluruhan otaknya.

Panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan akhir Hazmi Majid, 42, terhadap sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Ogos 2021 dan disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Mac 2023.

Hakim Datuk Rhodzariah Bujang yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera berpuas hati hukuman yang sesuai dijatuhkan adalah hukuman mati kerana jenayah yang dilakukannya sangat kejam.

Mengikut pertuduhan, Hazmi yang juga suami kepada pengasuh mangsa disabitkan membunuh Nur Muazara Ulfa di sebuah unit pangsapuri di Bandar Baru Bangi, antara jam 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.

Terdahulu, peguam T Vijayandran yang mewakili perayu berhujah, anak guamnya tidak sedar perbuatan itu kerana di bawah pengaruh dadah selain memohon lelaki itu dikenakan hukuman penjara 30 hingga 35 tahun jika mahkamah mengetepikan hukuman mati.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi berhujah, rayuan Hazmi wajar ditolak dan dakwaan mengatakan bawah pengaruh dadah tidak boleh diterima berdasarkan tindakannya cuba melupuskan bahan bukti dengan membasuh tuala bagi menghilangkan darah menunjukkan dia sedar ketika kejadian berlaku

Destination: