Dikritik Kerana 'Disko Bergerak', KTMB Perhalusi Garis Panduan Tren Sewaan Khas

TERKINI
May 21, 2024 - 10:49 AM


Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan menyatakan bahawa mereka akan menambah baik dan mempertingkatkan garis panduan perkhidmatan tren sewaan khasnya (Charter Train) demi kepentingan orang awam dan syarikat itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan penganjuran pesta hiburan sempena ulang tahun ‘Pinkish Festival’ di tren sewa khas yang telah menimbulkan kontroversi sehingga menyebabkan ramai pihak mengkritik (KTMB). 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, KTMB menjelaskan bahawa pihak penyewa berkenaan telah mematuhi syarat ditetapkan oleh pihaknya.

“KTMB telah menetapkan syarat-syarat seperti larangan merokok, alkohol, penggunaan dadah dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar undang-undang dan ia telah dipersetujui dan dipatuhi oleh pelanggan kami. 

“Peranan KTMB adalah sebagai penyedia perkhidmatan di mana kami menyediakan keseluruhan tren dan koc-koc mengikut permintaan pelanggan dan aktiviti yang direncana ditentukan sendiri oleh pihak pelanggan mengikut garis panduan dan terma-terma yang telah ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan penumpang mengadakan parti di dalam gerabak KTMB di media sosial dengan lokasinya dipercayai di Kuala Lumpur. 

Dalam kenyataan sama, KTMB memaklumkan ia telah memperkenalkan perkhidmatan Charter Train sejak Sept 2021 kepada syarikat atau individu yang berminat untuk membuat sewaan tren khas.

"Perkhidmatan ini mendapat sambutan menggalakkan dan pernah disewa khas oleh pihak-pihak kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dari dalam dan luar negara serta persatuan-persatuan," menurut kenyataan itu. 

 

Sumber: Astro Awani

Destination: