Google Pecat 28 Pekerja Yang Protes Projek Kerjasama Dengan Israel

TERKINI
April 19, 2024 - 10:22 AM


Syarikat gergasi teknologi, Google dilaporkan telah memecat 28 pekerja yang didakwa terlibat dalam protes di pejabatnya kerana membantah kontrak dengan Israel.

28 orang pekerja itu dipercayai dipecat pada Rabu selepas mereka terlibat dalam protes terhadap projek Nimbus, iaitu kontrak layanan perkomputeran awan bernilai AS$1.2 bilion dengan kerajaan Israel, yang membabitkan Amazon. 

Menurut sumber, pekerja di kedua-dua syarikat itu mendakwa perjanjian berkenaan menghasilkan teknologi canggih dengan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) untuk kegunaan anggota keselamatan Israel sekali gus menyumbang kepada pembunuhan warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Portal The Intercept dan Time juga melaporkan bahawa projek Nimbus membekalkan perkhidmatan yang boleh diakses oleh Angkatan Pertahanan Israel.

Google juga dikhabarkan telah mengesahkan pemecatan itu selepas sembilan pekerja ditahan polis pada Selasa selepas melakukan protes di hadapan pejabat Ketua Pengarah Eksekutif Google Cloud, Thomas Kurian di Sunnyvale, California, serta sebuah lagi pejabat di New York.

Kesemua sembilan pekerja itu dipecat, bersama 19 lagi peserta protes lain. Pekerja yang dipecat difahamkan adalah mereka yang berada di barisan hadapan demonstrasi, malah ada yang bekerja secara terus dengan Thomas Kurian. 

Gerakan tunjuk perasaan itu dipimpin oleh kumpulan aktivis yang dinamakan 'No Tech For Apartheid' yang mendesak Google dan Amazon untuk membatalkan kontrak projek Nimbus.

Chris Rackow, ketua keselamatan global Google, melalui memo yang diedarkan untuk semua pekerja pada Rabu lalu mengecam protes tersebut sambil melabelkan tingkah laku tersebut sebagai tidak boleh diterima dalam budaya kerja syarikat. 

Selain itu, Rackow memberi amaran bahawa jika aktiviti sedemikian dilakukan lagi, para pekerja bakal berhadapan dengan akibat yang sama. 

Berita tentang pemecatan itu telah mendapat kecaman daripada kumpulan “No Tech for Apartheid” yang menyelar tindakan Google sebagai percubaan terang-terangan untuk menyekat perbezaan pendapat dan mendiamkan kebimbangan mengenai Projek Nimbus.

Mereka menggariskan hak pekerja Google untuk terlibat dalam bantahan secara aman sebagai cara untuk menangani rungutan yang berkaitan dengan keadaan pekerja mereka.

Jurucakap Google Anna Kowalczyk dalam satu kenyataan berkata, para pekerja itu dipecat dari tugas selepas siasatan dalaman mendapati 'mereka bersalah kerana secara fizikal menghalang pekerja lain daripada menjalankan tugas dan mengakses kemudahan pejabat'. 

 

Sumber: Astro Awani & The Vocket

Destination: