"Ini Undang-Undang Penjajah" - Bekas Lawyer Ulas Isu Seksyen 498 Mansuh, Tidak Boleh Dakwa Lelaki Goda Isteri Orang

TERKINI
December 20, 2023 - 11:38 AM


Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan telah pun membuat keputusan untuk memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan dimana ia tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah melibatkan pendakwaan lelaki menggoda isteri orang.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengisytiharkan seksyen berkenaan tidak berperlembagaan kerana ia melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan jantina.

Keputusan tersebut telah mengundang pelbagai reaksi dari ramai pihak. Ramai yang memberi pandangan tersendiri mengenai pemansuhan seksyen itu, ada yang bersetuju dan ttidak kurang juga ada yang membangkang.

Isu ini mendapat perhatian seorang bekas peguam yang aktif menulis di media sosial, Liyana Marzuki yang kemudiannya mengulas isu mengenai pemansuhan seksyen terbabit di Platform X..

“Seksyen 498 Kanun Keseksaan tetapkan mana-mana orang yang mengorat dan membuat hubungan dengan isteri orang boleh dikenakan hukuman 2 tahun penjara.

“Mahkamah Persekutuan membatalkan seksyen ini kerana melanggar konsep kesaksamaan jantina dalam Perkara 8 Perlembagaan. Ini kerana kesalahan ini hanya terpakai kepada lelaki,” katanya.

Liyana juga menjelaskan bahawa seksyen ini dimansuhkan kerana menolak konsep isteri sebagai ‘harta’ kepada lelaki di mana hanya lelaki sahaja berhak dan layak mendapat keadilan sekiranya ada kecurangan dalam perkahwinan.

Katanya lagi, undang-undang ini dibuat sejak zaman Victoria di England dimana pada ketika itu, ramai isteri golongan bangsawan dicuri dan dibawa lari oleh golongan bawahan sehingga mereka terpaksa wujudkan satu kesalahan jenayah.

Namun, kesalahan itu dilihat satu hala sahaja dan seksyen ini dilihat telah mendiskriminasi kaum wanita. Makanya pada tahun 1960, England telah pun membatalkan undang-undang ini.

"Banyak saya tengok set2 ustaz marah seksyen ini kita batalkan. Jangan gusar ya ustaz! Ini undang2 penjajah kan? Biaq pi depa batal," tegasnya.

Jelasnya lagi, walaupun seksyen ini telah dimansuhkan tetapi undang-undang syariah ada peruntukan khas bagi kesalahan terbabit dan ia terpakai kepada suami ataupun isteri.

“Kalau ada orang mengorat lelaki atau isteri anda dan cuba runtuhkan rumah tangga, boleh lapor pada Jabatan Agama. Memang ada kesalahan jenayah syariah. Di KL seksyen 37 Akta 559. Di Selangor seksyen 34 Enakmen 9 Tahun 1995. Negeri lain, pakat-pakat la cari peguam syariah,” katanya.

Liyana turut menyatakan undang-undang Islam lebih adil kerana kedua-dua pihak boleh mengambil tindakan jika berlaku isu tersebut.

 

Sumber: Lobak Merah & X

Destination: