Sihir, Bomoh & 'Pengkid' Diwartakan Sebagai Jenayah Syariah Baru Di Terengganu!

TERKINI
December 02, 2022 - 12:05 PM


Selepas lebih 20 tahun undang-undang digubal dan kali terakhir pindaan enakmen dibuat iaitu pada tahun 2016 -- kini Terengganu bakal melaksanakan 4 jenis kesalahan yang dijatuhkan sebagai jenayah syariah!

Empat kesalahan jenayah syariah itu adalah :-

1) Amalan Sihir & Bomoh

2) Hamil atau Melahirkan Anak Luar Nikah

3) Perempuan Berlagak Seperti Lelaki (Pengkid)

4) Persediaan Melakukan Liwat

Kesemua kesalahan tersebut telah diluluskan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sebagai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Pindaan) 2022.

Enakmen tersebut akan mula dilaksanakan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat  berkata -- pindaan itu melibatkan Seksyen 33A (perempuan berlagak seperti lelaki), Seksyen 36A (persediaan melakukan liwat) dan Seksyen 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah).

Katanya, sebelum ini peruntukan undang-undang sedia ada hanya melibatkan lelaki menyerupai perempuan dan tidak melibatkan perempuan menyerupai lelaki.

“Sebab dahulu mungkin tidak ada sangat isu ini (perempuan menyerupai lelaki), tetapi kita tengok sekarang kes ‘pengkid’ dan sebagainya semakin berleluasa, jadi kerajaan negeri berhasrat membendung isu ini,” katanya dipetik Bernama.

Menurutnya, individu yang didapati bersalah di bawah seksyen itu boleh dihukum mengikut Peruntukan 356 sehingga tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.

“Dengan adanya pindaan ini, kita mengharapkan kesejahteraan umat Islam, khususnya di Terengganu lebih terjaga dan terpelihara,” katanya.

Bagi kemasukan seksyen melibatkan perbomohan dan sihir -- sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk memantau bagi memastikan masyarakat Islam tidak mendapatkan rawatan alternatif yang bercanggah hukum Islam.

Bagaimanapun, katanya, kesalahan dan hukuman berdasarkan seksyen itu hanya melibatkan perawat, bukannya pesakit.

Sumber: Utusan Malaysia

Destination: