Terengganu Haramkan Salun Rambut Uniseks

TERKINI
December 01, 2022 - 03:37 PM


Tiada lagi salun rambut uniseks dibenarkan beroperasi di Terengganu!

Itu peraturan kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS yang melarang mana-mana pengusaha salun menjalankan operasi percampuran pelanggan antara lelaki dan perempuan dan jika didapati melanggar syarat lesen boleh didenda antara RM500 dan RM1,000.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Alias Razak -- peraturan bagi pengasingan jantina itu bukan peraturan baru yang digubal kerajaan negeri, sebaliknya merupakan syarat lesen sedia ada.

“Salun rambut atau kedai gunting rambut, sama ada diusahakan oleh orang Islam atau bukan Islam tidak dibenarkan menyediakan perkhidmatan gunting rambut untuk lelaki dan wanita pada masa yang sama,” katanya dipetik Sin Chew Daily.

Menurutnya, pengusaha salun mesti mematuhi syarat lesen atau mereka akan didenda atau lesen mereka akan dibatalkan.

"Tiada pengecualian untuk salun rambut atau kedai gunting rambut yang diusahakan oleh bukan Islam. Jika kita benarkan tukang gunting rambut wanita bukan Islam memotong rambut untuk pelanggan lelaki, lelaki Islam boleh mengunjungi kedai itu," katanya.

Baru-baru ini Adun Wanita, Zuraida Md Noor menggesa syarat pelesenan kedai gunting rambut dilaksanakan bagi memastikan kedai gunting rambut dan spa di negeri itu mematuhi syarak dengan mengasingkan jantina.

“Persoalannya, sejauh mana syarat-syarat ini dipatuhi? Saya mendapat aduan daripada masyarakat yang menyuarakan kebimbangan apabila terdapat percampuran lelaki dan perempuan dalam perkhidmatan gunting rambut ini.

“Hal yang sama juga berlaku di premis spa dan salon kecantikan diri. Saya hairan bagaimana penggiat industri dandanan rambut dan salon kecantikan, boleh terlepas pandang perkara besar ini,” katanya dalam sesi perbahasan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, 29 Nov lalu.

Sumber: Malaysia Kini

Destination: