Jadi Lubuk 'Scammer', Elak Masuk Kumpulan Pelaburan Di Telegram - Bukit Aman

TERKINI
March 07, 2024 - 04:49 PM


Hanya kerana meninginkan jalan pintas untuk kaya atau tidak celik IT, ramai rakyat Malaysia yang terperangkap dengan jeratan para scammer.

Antara cara termudah dan terkini dari kaki penipu ini, 'pelabur' akan mendedahkan keuntungan demi keuntungan dalam kumpulan atau ‘grup’ melalui aplikasi Telegram.

Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pelaburan Bersindiket/Kad Elektronik/Lain-Lain Jenayah), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Koh Seok Keng berkata mereka yang berinteraksi dalam kumpulan itu sebenarnya sebahagian daripada anggota sindiket penipuan pelaburan yang bertujuan untuk menarik mangsa supaya menjadi pelabur.

Katanya, ahli kumpulan itu menyamar sebagai pelabur atau orang awam hanya untuk mengaburi mata mangsa.

“Contohnya, anda dimasukkan dalam ‘grup’ itu dan dalam kumpulan itu ada lima orang yang bercakap sama sendiri menceritakan mengenai pelaburan dan keuntungan.

Mereka itu bukanlah pelabur tetapi ‘scammer’ yang cuba menipu anda.

“Mereka cuba untuk memperlihatkan situasi seperti keadaan anda, menjadi seperti salah seorang anda yang melabur dan mendapat keuntungan besar. Oleh demikian, jika anda dimasukkan dalam ‘grup’ Telegram ini, segeralah untuk keluar,” katanya dalam Program #JanganKenaScam bersama media tempatan, di sini hari ini.

Seok Keng mendedahkan jumlah mangsa yang berusia antara 31 hingga 40 tahun adalah paling ramai yang terjerat dengan skim pelaburan yang tidak wujud pada tahun lalu, iaitu seramai 1,359 mangsa dengan jumlah kerugian RM69.2 juta.

Bagaimanapun, PDRM merekodkan, kerugian besar adalah di kalangan mangsa berusia 51 hingga 60 tahun dengan nilai RM141.8 juta.

Sumber dan Kredit: Buletintv3.my

Destination: