Jual Daging Katak, Pasar Raya NSK Beri Penjelasan
TERKINIPasar raya basah adalah tempat untuk mendapatkan makanan laut, daging mentah dan sayur-sayuran. Premis ini menyediakan pilihan yang banyak untuk orang ramai mendapatkan bahan basah.
Baru-baru ini, tular sebuah hantaran di Facebook yang mengejutkan orang ramai apabila terdapat daging katak yang dijual secara terbuka bersama bahan basah yang lain.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang pengguna Facebook, Azmi Ahmad Anuwar yang menunjukkan kejadian itu berlaku di pasar raya NSK Selayang pada Selasa lepas dan setelah membuat aduan kepada pihak pasar raya berkenaan, dia mendapat respon bahawa mereka tidak tahu tentang hal tersebut.
Setelah itu, lelaki berkenaan membuat aduan kepada pihak KPDNKK. Menurut maklum balas daripada pihak KPDNKK pula, tiada daging katak yang boleh dipamer untuk jualan.
Susulan selepas kejadian itu, seorang wakil syarikat NSK menjelaskan bahawa pembekal tersilap menghantar daging berkenaan kepada pihak NSK.
Menurutnya, pekerja yang menguruskan bahagian itu yang juga warga asing tidak mengetahui barangan basah terbabit adalah daging katak.
“Pekerja warga asing dari syarikat kami tidak mengetahui barangan itu adalah daging katak dan ia kemudian dipamerkan di bahagian berkenaan,” ujarnya
Kata wakil syarikat itu lagi, NSK akan memastikan agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi.
Kredit: Says Seismik