Kerajaan Sedia Rawat Penerima Vaksin COVID-19 AstraZeneca Yang Alami Kesan Sampingan

TERKINI
May 13, 2024 - 10:32 AM


Sebelum ini, heboh tentang pengakuan dari pengeluar vaksin COVID-19, AstraZeneca yang mengaku vaksin miliknya memberi kesan sampingan sehingga mereka bertindak untuk mengambil keputusan untuk menarik balik penjualan vaksin COVID-19 di seluruh dunia secara sukarela. 

Hal tersebut telah menyebabkan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia yang menerima vaksin tersebut. 

Terbaru, pihak kerajaan memberi jaminan akan bertanggungjawab merawat penerima vaksin COVID-19 termasuk jenis AstraZeneca jika terbukti mengalami kesan sampingan akibat vaksin berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kerajaan memiliki semua data berkaitan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) yang berpunca daripada vaksin COVID-19.

Selain itu katanya, kerajaan turut mempunyai kaedah untuk merawat kesan sampingan berkenaan.

"AstraZeneca telah memanggil (tarik balik) vaksin mereka dan ini adalah (fenomena) global, apa yang kita mahu pastikan adalah kalau ada sesiapa yang ada terbukti 'evidence base' yang terkait dengan vaksin AstraZeneca itu kita memang punya cara untuk pastikan mereka diberikan bantuan.

"Memang ada kaedah kita untuk bertanggungjawab untuk merawat mereka, dan itu jaminan yang diberikan kerajaan, kita ada data-data dengan diistilah sebagai AEFI.

"Jadi kita ada data itu kalau benar dapat buktikan, kita akan berikan (dan) pastikan susulan rawatan yang teruk termasuk kita berikan segala bantuan kerajaan akan bertanggungjawab," katanya. 

Dzulkefly berkata kerajaan turut akan bertanggungjawab terhadap penerima vaksin daripada firma farmaseutikal lain seperti Pfizer-BioNTech dan Sinovac, sekiranya turut terbukti menmberi kesan sampingan kepada si penerima.

 

Sumber: Berita Harian

Destination: