"Kes Darah Beku, Serangan Jantung Tiada Kaitan Dengan Vaksin AstraZeneca" - Dr Noor Hisham

TERKINI
May 28, 2024 - 11:05 AM


Kes serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang berlaku pada masa kini tiada kaitan dengan vaksin AstraZeneca kerana tiada lagi program vaksinasi menggunakan vaksin berkenaan sejak kebelakangan ini. 

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan kes penyakit itu masih berlaku ketika ini disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, masalah kolesterol dan masalah kencing manis. 

Beliau juga meminta orang ramai untuk tidak risau kerana vaksinasi terakhir AZ telah berlalu bertahun lamanya. Tambahnya lagi, kes mahkamah yang diwar-warkan adalah kes yang berlaku di United Kingdom sewaktu pandemik COVID-19 dan bukan berdasarkan kes yang berlaku baru-baru ini.

“Kesan sampingan yang dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca adalah kesan darah beku atau Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT).

“Ia adalah penyakit darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang. Perkara ini hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu (sebulan) selepas menerima vaksinasi.

"Orang ramai diminta membezakan antara kesan sampingan darah beku Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT) dengan masalah pembekuan darah yang lain,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, X. 

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, pihaknya pada ketika itu telah menerima laporan berkenaan VITT, namun vaksin itu perlu digunakan untuk program vaksinasi kerana kadar kematian akibat Covid-19 dalam kalangan masyarakat yang tidak divaksin amat tinggi.

Bagaimanapun, Noor Hisham berkata, golongan berisiko tinggi adalah individu yang mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini dan mereka tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AZ. 

Susulan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan yang berisiko tinggi untuk tidak menerima vaksin AZ dan bagi pengesanan awal jika kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) berlaku.

“Insiden kesan samping VITT sangat rendah iaitu empat kes dalam setiap 1 juta suntikan. Jika dibandingkan dengan risiko darah beku dan platelet rendah selepas jangkitan Covid-19 itu, ia lebih selamat. 

“Selepas jangkitan Covid-19, risiko kesan darah beku daripada jangkitan thrombotic thrombocytopenia (TT) ini adalah setinggi 165,000 kes dalam 1 juta jangkitan.

“Insiden darah beku dalam kalangan perokok pula adalah lebih tinggi iaitu hampir 1,800 kes dalam 1 juta perokok. Tiada lagi kes VITT dikesan dan dilaporkan kini,” ujarnya. 

Dr Noor Hisham juga menegaskan semua pihak perlu berhati-hati dengan analisa fakta dan salah tafsir yang akan menyebabkan kekusutan serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat. 

 

Sumber: Berita Harian

Destination: