Kes Polis Bunuh Alumni UPSI: Ujian DNA Positif, Mayat Adalah Nur Farah Kartini
TERKINIPolis mengesahkan wanita ditemukan mati dipercayai dibunuh di ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, Selasa lalu, adalah Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia hasil keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh pihaknya hari ini.
"DNA positif, mayat adalah Nur Farah Kartini. Mayat akan diserahkan kepada keluarga hari ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Beberapa individu terdiri daripada ahli keluarga Allahyarham Nur Farah kelihatan di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh di sini, 11.12 pagi tadi.
Turut kelihatan van jenazah daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipercayai akan membawa jenazah arwah untuk dikebumikan.
Sementara itu, abang arwah, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, berkata, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung Selangor.
"Jenazah kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Bentan, Pekan.
"Butiran berkaitan akan saya sampaikan nanti," katanya.