Kes Simbah Asid Faisal Halim: Polis Edar Fotofit Wajah Suspek, Minta Sesiapa Kenal Tampil Ke Balai

TERKINI
May 20, 2024 - 02:10 PM


Setelah senyap seketika tentang kes simbah asid terhadap pemain kebangsaan negara, Faisal Halim, Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam (19 Mei) telah mengedarkan fotofit atau lakaran wajah yang dipercayai suspek bagi kes tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan individu berkenaan diminta tampil bagi membantu mengesan suspek yang menyerang pemain kebangsaan itu. 

"Suspek dianggarkan berusia 30-an, berketinggian 165 sentimeter (cm), tubuh bersaiz sederhana dan kulit sawo matang. 

"Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berwajah seperti lakaran fotofit diminta menghubungi pegawai penyiasat kes atau tampil ke balai berhampiran," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, orang ramai boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan Undang-undang (D5), Inspektor Jagachandaran Murugesen di talian 0125848166 atay 0322666071. 

Sebelum ini, bintang Selangor FC tersebut telah disimbah asid ketika berada di sebuah pusat beli-belah di Damansara pada 5 Mei lalu.

Difahamkan Faisal didekati oleh dua suspek yang menaiki motosikal dan seorang daripadanya menyimbah asid kepada penyerang Selangor FC itu. 

 

Sumber: Astro Awani & X

Destination: