Ketua Hamas, Ismail Haniyeh Terbunuh Dalam Serangan Di Iran

TERKINI
July 31, 2024 - 02:31 PM


Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh terbunuh di Tehran, Iran, kata kumpulan pejuang Palestin, Hamas dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kumpulan pejuang Islam itu berkabung atas kematian Haniyeh, yang dikatakan terbunuh dalam 'serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran'.

"Saudara, pemimpin, mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan kita, syahid dalam serangan Zionis di ibu pejabatnya di Tehran selepas beliau menyertai pelantikan presiden baharu (Iran)," katanya. 

Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, semalam. 

Pengawal Revolusi Iran menyatakan bahawa Haniyeh dibunuh bersama salah seorang pengawalnya.

"Tempat tinggal Ismail Haniyeh diserang di Tehran dan akibatnya, beliau bersama salah seorang pengawalnya syahid," kata satu kenyataan di laman berita Sepah milik Kor Pengawal Revolusi Islam. 

Pengawal Revolusi juga berkata mereka sedang menyiasat lanjut serangan itu.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi ia disyaki dilakukan tentera Israel. Kerajaan Israel juga tidak mengulas, seperti mana yang biasa mereka lakukan sekiranya membabitkan pembunuhan yang dilakukan oleh agensi perisikan Mossad mereka.

Bagaimanapun, seorang menterinya Amichay Eliyahu meraikan kematian itu dengan berkata ia “akan menjadikan dunia ini lebih baik”. 

Haniyeh, yang lokasi lazimnya berpangkalan di Qatar, menjadi wajah diplomasi antarabangsa kumpulan Hamas ketika perang yang dicetuskan oleh serangan kumpulan pejuang itu ke atas Israel pada 7 Oktober. 

Mei lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Ismail di Qatar dan menyatakan komitmen Malaysia menggesa serangan dihentikan terhadap Palestin dihentikan. 

 

Sumber: Berita Harian & MalaysiaKini

Destination: